Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dipeluk ayahnya, Syed Abdul Rahman Syed Abdullah Al-Sagoff ketika hadir atas dua pertuduhan pecah amanah di Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

BEKAS Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan kedua yang dihadapinya hari ini.

Pertuduhan kedua melibatkan kesalahan menyalahgunakan wang sumbangan berjumlah RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ahli Parlimen Muar itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Syed Saddiq, 29, antara 8 hingga 21 April 2018 secara curang menyalahgunakan wang sumbangan untuk PRU-14 berjumlah RM120,000 yang dikutip melalui akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise di Maybank Islamic Berhad, Taman Pandan Jaya, Kuala Lumpur.

Baca artikel berkaitan: Syed Saddiq didakwa pecah amanah RM1 juta dana Bersatu

Kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun, dan sebat serta denda.

Syed Saddiq yang diwakili peguam bela Gobind Singh Deo, Datuk Ambiga Sreenevasan, dan Haijan Omar mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan dan mohon dibicarakan.

Bekas Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dibenar diikat jamin RM330,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram