GAMBAR: Abd Razak Aid

SEBELUM ini, banyak laporan berita melibatkan aktiviti penipuan terutama secara dalam talian telah dilaporkan.

Pelbagai nama diberi daripada love scam hingga parcel scam yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab semata-mata mahu menipu mangsa.

Kerugian yang ditanggung pun bukan sedikit, malah mencecah sehingga ratusan ribu ringgit.

Ketika orang ramai menanti giliran untuk memperoleh vaksin COVID-19, kini polis mendapati muncul satu lagi modus operandi baharu penipuan dalam talian.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din, sindiket terbaharu ini menggunakan isu penjualan vaksin COVID-19 bagi memperdaya mangsa.

Sehingga kini, kata beliau, sebanyak 38 laporan polis telah pun diterima berkaitan kes-kes sebegini melibatkan kerugian berjumlah RM54,500.

“Dalam kes-kes ini, mangsa akan dihubungi sindiket yang menyamar sebagai kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan seterusnya memaklumkan mangsa akan dikenakan tindakan kerana didapati telah menjual vaksin COVID-19 secara dalam talian melalui Facebook.

“Mangsa yang panik dengan dakwaan tersebut kemudiannya akan menuruti semua arahan yang diberikan sehingga akhirnya membuat bayaran ke dalam akaun yang diberikan sindiket,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Akibat ‘Love Scam’ ibu tunggal kerugian hampir RM1 juta

Selain sindiket tersebut, Mohd. Kamarudin turut memaklumkan JSJK mengesahkan sehingga kini empat laporan polis telah diterima berkaitan isu vaksin COVID-19.

Beliau berkata, tiga daripada laporan berkenaan adalah dakwaan wujudnya aktiviti penipuan penjualan vaksin kepada orang awam.

Satu lagi laporan, katanya adalah melibatkan isu penambahan jumlah penerima vaksin di salah sebuah pusat pemberian vaksin (PPV) sehingga melebihi jumlah yang dibekalkan.

Jelas beliau, sehingga kini seramai lapan individu telah ditahan bagi membantu siasatan yang dijalankan berkaitan kes-kes tersebut.

“Kesemua mereka telah pun dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan dijalankan.

“Satu daripada kes-kes tersebut telah pun selesai dan pihak Jabatan Peguam Negara memutuskan tiada pertuduhan dikenakan setelah siasatan mendapati tiada bukti serta keterangan yang mencukupi untuk menuduh suspek terlibat.

“Baki tiga lagi kertas siasatan masih berjalan,” jelas beliau.

Mohd. Kamarudin turut meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai siasatan kes-kes tersebut.

Beliau berkata, selaku agensi penguatkuasa undang-undang, polis sentiasa komited untuk memastikan siasatan dijalankan dengan adil dan saksama selaras peruntukan undang-undang.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan berhati-hati agar tidak menjadi mangsa penipuan sindiket yang dilihat mengambil kesempatan dengan memanipulasi isu semasa bagi mengaut keuntungan dengan cara salah.

“Polis mengalu-alukan orang ramai untuk menghubungi CCID scam response centre melalui talian 03-26101559 / 1599 sekiranya mempunyai sebarang keraguan mahu pun maklumat berkenaan aktiviti jenayah komersial,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram