FASA kedua Pelan Pemulihan Pelancongan (TRP) yang bermula hari ini akan memberi tumpuan kepada proses vaksinasi di pulau-pulau peranginan yang menjadi tumpuan utama pelancong.
Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, fasa kedua itu bermula hari ini dengan Pulau Pangkor menjadi lokasi pertama TRP.
Kata beliau, TRP dilaksana bagi membantu kerajaan mempercepat program vaksinasi di seluruh negara untuk menjayakan program Destinasi Bebas COVID-19.
Selain Pulau Pangkor, beliau berkata, antara pulau peranginan lain yang akan diberi tumpuan termasuk Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Tioman dan lain-lain.
“Hari ini, saya ke Pulau Pangkor, antara pulau peranginan di negara ini yang dipilih sebagai sebahagian daripada projek rintis program Destinasi Bebas COVID-19 dalam Pelan Pemulihan Pelancongan.
“Kali ini, elemen promosi menjadi fokus dalam menjayakan program Destinasi Bebas COVID-19 di Pulau Pangkor dengan mempergiatkan Kempen Promosi Rindu Melancong, Jom Vaksin Dulu.
Baca artikel berkaitan: Gelembung pelancongan bersasar atau poket rakyat tersasar?

“Terima kasih Exco Perumahan Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohd. Radzi yang turut sama memberi sokongan menerusi usaha sama kerajaan negeri dan Persekutuan ini,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Fasa pertama TRP telah dimulakan pada 17 Julai lalu dengan dengan menjadikan Pulau Langkawi sebagai destinasi rintis program Destinasi Bebas COVID-19 dalam TRP.
Program berkenaan bagi merealisasikan sasaran 80 peratus populasi penduduk Pulau Langkawi divaksinasi sebelum diperluas ke destinasi-destinasi pelancongan lain seperti di Pulau Pinang, Pahang, Johor, Melaka dan Sabah secara berperingkat sebagai gelembung perjalanan hijau.
Mengulas lanjut, Nancy memaklumkan, khidmat sukarelawan dan bantuan kemudahan fasiliti sedia ada di bawah seliaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya turut diberi tumpuan dalam usaha itu.
Katanya, ia sebagai usaha mempercepat proses pemberian vaksinasi yang dijalankan secara outreach kepada penduduk setempat di pulau berkenaan memandangkan sebahagian besar daripada mereka berada dalam sektor pelancongan.
“Tugas kami ini adalah amanah yang perlu dilaksanakan demi membantu industri ini bernafas semula apabila keadaan mengizinkan kelak. Insya-Allah.
“Doakan segala urusan kami hari ini berjalan lancar ya,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

