SERAMAI 298, 306 pekerja di sektor pembuatan telah mendapat suntikan vaksin dos pertama dan 28,596 daripadanya telah lengkap menerima dua dos suntikan.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata, hasil itu diperoleh melalui Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).
PIKAS adalah program imunisasi kerjasama awam-swasta yang telah dilancarkan sebagai Fasa 4 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bertujuan untuk membantu mempercepatkan vaksinasi dalam kalangan rakyat, dengan menyasarkan tenaga kerja dalam sektor-sektor pembuatan kritikal.
Program tersebut diperkenalkan berikutan cadangan daripada persatuan industri, dewan perdagangan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang ingin mempercepatkan vaksinasi bagi pekerja di dalam sektor pembuatan agar mereka kekal berasa selamat di tempat kerja dan terhindar daripada bahaya COVID-19.
PIKAS mempunyai matlamat untuk mempercepatkan proses vaksinasi pekerja dengan matlamat mencapai sekurang-kurangnya dua juta orang pekerja di dalam sektor pembuatan menjelang penghujung suku ketiga tahun ini.
BERITA BERKAITAN [VIDEO] PIKAS: Lebih 14,000 syarikat sudah mendaftar
Melalui PIKAS, kerajaan akan memberikan vaksin secara percuma, manakala pihak swasta akan menguruskan pentadbiran PPV termasuk penglibatan perkhidmatan perubatan swasta.
Majikan perlu menanggung sepenuhnya kos pentadbiran bagi vaksinasi pekerja dan tidak dibenarkan untuk memindahkan kos tersebut dengan menolak gaji pekerja walaupun pekerja tidak lagi berkhidmat dengan syarikat selepas mendapat dos vaksinasi pertama.
Walaupun ketika PIKAS dilaksanakan, kerajaan tetap komited dalam memastikan proses vaksinasi bagi golongan yang paling rentan dan yang telah mendaftar di bawah PICK akan kekal menjadi keutamaan.
Syarikat yang berminat untuk menyertai PIKAS boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui www.miti.gov.my. – UtusanTV
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

