KETUA Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah meminta semua doktor kontrak untuk tidak menyertai mogok yang dirancang esok dan mengingatkan mereka mengenai sumpah jawatan yang dilakukan sebelum ini.
“Menyeru semua rakan sekerja saya, doktor dan pekerja penjagaan kesihatan untuk mengingati sumpah yang kita semua buat ketika kita memulakan profesion ‘Primum non nocere’ pertamanya jangan melakukan sesuatu yang ‘buruk’ atau ketidakadilan terhadap pesakit kita.
“Kepada rakan sekerja junior kami dalam jawatan kontrak, saya menggesa anda semua agar jangan terbabit demonstrasi dan tinggalkan tugas anda terhadap pesakit anda.
“Ingatlah bahawa banyak nyawa sedang dipertaruhkan dan demonstrasi boleh menjejaskan nyawa mereka dan juga kerjaya anda,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Kenyataan itu dierpcayai berkaitan dengan rancangan Kesatuan Hartal Doktor Kontrak yang merancang untuk mengadakan mogok hari ini melibatkan lebih 20 hospital bermula pukul 11 pagi.
Tindakan yang dijangka akan disertai sekitar 5,000 doktor terbabit di seluruh negara itu sebagai tanda protes kegagalan kerajaan menyerap mereka dalam perkhidmatan tetap setelah habis kontrak.
BERITA BERKAITAN Rayuan doktor kontrak diteliti Kabinet, libat kos RM2 bilion
Noor Hisham berkata ketika mereka mengharapkan jawatan tetap di bawah kementerian, kerajaan telah menawarkan lanjutan kontrak dua tahun kepada doktor kontrak.
Beliau berkata, lanjutan kontrak itu bertujuan memberi kerajaan waktu untuk memungkinkan tawaran jawatan tetap dibuat.
“Ini akan memberikan masa untuk pindaan dilakukan kepada Akta Pencen, supaya jawatan tetap boleh dibenarkan untuk mencarum dengan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), sebagai contohnya, tanpa pilihan untuk pencen.
“Sementara itu, kerajaan akan membenarkan mereka yang berada dalam jawatan kontrak untuk menyambung pendidikan mereka ke peringkat sarjana walaupun memegang jawatan kontrak dan akan menawarkan jawatan tetap KWSP setelah ia tersedia,” jelasnya.
Noor Hisham mengulangi keselamatan pesakit mesti diutamakan.
“Saya ingin mengingatkan bahawa keselamatan pesakit adalah keutamaan kita. Ingatlah kepada sumpah yang kita ambil secara ikhlas dan untuk berada bersama pesakit anda pada ketika mereka dan negara anda amat perlukan.
“Kitalah barisan pertahanan terakhir untuk memberikan rawatan kepada pesakit kita dan setiap nyawa adalah penting,” katanya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

