Spirit of the Coin. Benarkah dia roh yang kami seru dulu?

Dari Penulis

Anda pernah bermain Spirit of the Coin? Biasanya mereka yang tinggal di asrama sewaktu di sekolah menengah pasti tahu tentang permainan ini.  

Generasi tahun 1970an dan 80an terutamanya pasti tahu mengenainya kerana pada zaman itulah permainan Spirit of the Coin mula kedengaran di negara ini. Tetapi ini bukan permainan yang baik kerana ia menyeru dan menjemput kehadiran ‘roh’.

Secara ringkasnya, permainan ini bermula dari Barat, menggunakan sekeping papan Ouija (Ouija board) yang di atasnya ditulis huruf A – Z, nombor 0 – 9, `Yes’, `No’ dan `Home’. Pemain-pemainnya akan meletakkan jari pada sekeping papan penunjuk (planchette), sambil menyeru roh-roh yang berada di sekitar, supaya datang kepada mereka untuk berkomunikasi.

Kehadiran roh yang diseru itu dapat dirasakan apabila papan penunjuk bergerak ke petak `Yes’. Dari situ, ketua permainan akan mengajukan pelbagai soalan seperti latar belakang roh tersebut dan punca kematiannya, sebelum diikuti dengan soalan-soalan lain.

Roh tersebut menjawab dengan bergerak ke huruf dan nombor-nombor tertentu. Permainan ditamatkan dengan menyuruh roh berkenaan pulang dan papan penunjuk kembali ke `Home’. Di negara kita, biasanya Ouija board ini dibuat menggunakan sekeping kertas, manakala duit syiling dijadikan sebagai papan penunjuk.

Persoalannya, benarkah yang datang itu roh?

Permainan Ouija board atau Spirit of the Coiin dikatakan bermula pada sekitar tahun 1890, di Amerika Syarikat. Tujuannya adalah untuk berkomunikasi dengan orang yang telah meninggal dunia.

Pelbagai kejadian menakutkan diceritakan berlaku sewaktu permainan ini, antaranya kehadiran jelmaan, angin kencang serta bunyi-bunyi aneh, barang-barang di sekitar tempat permainan bergerak sendiri dan paling menakutkan, pemain dirasuk oleh `roh’ terbabit.

Gangguan ini dikatakan terjadi jika pemain menitikkan darah pada duit syiling atau ada di kalangan mereka yang dalam keadaan haid.

Sekali lagi, benarkah yang datang itu roh? Atau ia sebenarnya adalah SYAITAN?

Malam ini Mastika membawa anda berkongsi kisah ini…

—————–

Tahun 1994, saya masih menuntut di tingkatan lima di Sekolah Menengah Raja Chulan,Ipoh,Perak. Waktu itu saya sedang menduduki peperiksaan percubaan SPM. Suatu hari waktu rehat setelah selesai menduduki ujian, saya bersama empat orang sahabat melepak di belakang sekolah. Tujuan kami hanya satu iaitu untuk bermain Ouija Board, atau yang biasa kita sebut, Spirit of the Coin.

Saya tertarik untuk bermain apabila seorang sahabat bernama Ina, selalu bercerita. Kononnya apabila bermain dengan menggunakan setitik darah dan sekeping duit silling, seseorang itu mampu menyeru roh orang mati.

Apabila sudah datang, maka orang itu mampu berinteraksi. Segala soalan yang ditanya, roh tadi akan menjawab dengan tepat. Benarkah begitu?

Saya bukanlah percaya sangat dengan perkara tersebut. Mana mungkin orang yang tiada ilmu mampu berinteraksi dengan roh. Mengarut. 

Tetapi kerana ingin mengetahui kebenaran, saya memulakan permainan. Sehelai kertas lukisan, kami lukis bulatan-bulatan sebesar duit 50 sen di atasnya. Dalam setiap bulatan itu pula ditulis huruf A hingga Z manakala selebihnya ditulis nombor kosong hingga sembilan, `Home’, `Yes’ dan `No’.

Ketika itu, kawan-kawan yang mulanya beria-iya untuk bermain mula takut memikirkan perkara buruk selain takut hendak mencucuk jarum di jari. Jadi terpaksalah saya melakukannya. Lagipun saya mahu buktikan permainan itu semuanya karut semata-mata.

Menggunakan jarum pada pin tudung, saya mencucuk jari hantu. Setitis darah yang mengalir itu saya lerakkan pada sekeping duit 50 sen yang diletakkan atas kertas tadi. Kemudian saya mula bersuara.

“Spirit, spirit… spirit of the coin, please come to the coin, communicate with me to know mystery,” saya menyeru sebanyak tiga kali.

Darah yang mengalir dari hujung jari hantu itu saya titiskan pada duit syiling.

Selepas menyeru saya terus bertanya siapa roh itu? Apa namanya? Tetapi roh yang kononnya akan berhubung dengan saya itu masih belum menjawab. Waktu itu saya hanya ketawa terbahak-bahak kerana terlalu lucu dengan perbuatan kami.

Kemudian, Ina kawan saya mula bertanya. Katanya, saya akan kahwin dengan siapa, orang itu kerja apa, asal dari mana?

Selepas bertanya soalan tersebut tiba-tiba terasa tangan saya mula bergerak-gerak, seolah-olah ada kuasa lain yang menggerakkan tangan saya.  

Duit siling itu mula bergerak mengeja huruf di atas kertas tadi. Katanya, saya tidak akan berkahwin lagi tetapi akan bertemu dengan seorang lelaki bermula dengan huruf  R, bekerja di bahagian ‘aquatic’ dan berasal dari utara tanah air.

Ketika itu kawan lain semua ketawa kerana memikirkan saya sendiri yang menggerak-gerakkan tangan. Saya juga terfikir mungkin itu hanya khayalan atau perasaan saya sahaja.

Selepas itu saya terus angkat jari dari duit siling dan terus masuk ke dalam kelas. Sebabnya waktu rehat sudah tamat. Ketika di dalam kelas baru saya teringat cerita seorang kawan. Kononnya kalau hendak berhenti main, kita perlu minta izin. Jika tidak roh tersebut akan terus berdampingan dengan kita.

Tetapi cerita itu saya abaikan kerana menganggap ianya mengarut. Saya memang tidak percaya langsung.

Sejak itu saya terus lupakan segala yang berlaku. Tentang permainan tersebut juga saya tidak pernah bermain lagi. Beberapa tahun kemudian saya diterima masuk ke Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka untuk melanjutkan pelajaran peringkat diploma sebagai guru bahasa Inggeris.

Tahun 1999, saya masuk satu ruangan berkenalan dalam sebuah majalah berbahasa Inggeris. Dalam banyak-banyak surat yang diterima, saya terpikat dengan sekeping surat dari Kedah yang bahasanya berbunga-bunga, unik dan bersastera.

Manakan tidak, setiap kali saya baca surat tersebut sampai dua tiga kali. Ayat-ayatnya terlalu indah hingga membuatkan saya seolah-olah berkhayal dalam dunia lain.  

Pengirim surat itu pula bernama Roslan dan berasal dari Kuala Nerang, Kedah. Roslan bekerja sebagai penternak ikan air tawar di kampungnya.

Sejak itu, saya sering berutus surat dengan Roslan, berbulan-bulan lamanya. Hinggalah timbul perasaan cinta dalam hati setiap kali membaca surat Roslan.

Akhirnya saya mengutus surat kepada Roslan agar dia memberikan nombor telefon supaya kami dapat berhubung. Saya juga menyertakan nombor telefon rumah saya di Ipoh. Waktu itu, saya betul-betul teringin hendak mendengar suara Roslan. Adakah kata-kata Roslan nanti berbunga-bunga seperti suratnya?

Tidak lama selepas itu saya terima surat dari Roslan dengan nombor telefonnya sekali. Tetapi Roslan memberi syarat, saya hanya boleh menghubunginya selepas pukul 12 malam.

Permintaan Roslan itu, saya turut setuju kerana kerana mak, ayah dan adik-adik sudah tidur. Jadi senanglah saya hendak bergayut dengan Roslan sepuas-puasnya.

Apabila tiba cuti semester saya tidak sabar-sabar lagi untuk pulang ke kampung. Saya mahu menghubungi Roslan. Suatu malam di kampung saya terus menghubunginya. Berkali-kali saya hubungi telefon tetap tidak berjawab.

Waktu itu saya terfikir mungkin Roslan akan menghubungi saya kembali. Jadi malam itu saya tunggu dengan sabar.

Kring….kringg…

Telefon berdering dan saya terus angkat. Ternyata panggilan itu dari Roslan. Girangnya hati saya hanya Tuhan yang tahu. Malam itu, kami bersembang sepuas-puasnya. Hampir setiap malam selama seminggu kami berhubung hingga timbul perasaan cinta kepada Roslan walaupun saya tidak pernah menatap wajahnya.

Roslan beri syarat, hubunginya hanya selepas pukul 12 malam.

Suatu malam saya bertanya kepada Roslan bila saya dapat berjumpanya. Saya benar-benar mahu melihat wajahnya. Tetapi Roslan memberi jawapan dia belum bersedia.

Hinggalah satu malam, perlakuan saya yang sering bergayut di telefon itu diketahui oleh ayah. Ayah bertanya siapa lelaki itu dan sekiranya saya serius, ayah minta Roslan masuk meminang selepas saya tamat pengajian. Malam itu juga ayah mahu bercakap dengan Roslan.

Segala kata ayah saya sampaikan kepada Roslan. Roslan bersetuju dan sedia berbual, dengan syarat ayah saya sendiri perlu menghubunginya esok malam.

Malam esoknya ayah terus menghubungi telefon rumah Roslan. Berkali-kali dihubungi barulah panggilan itu diwajab. Selepas itu, ayah memberitahu tiada seorang pun lelaki bernama Roslan di rumah tersebut. Malah orang yang menjawab panggilan tersebut adalah seorang wanita yang sudah berkahwin.

Menyedari saya seperti ditipu, saya cuba menghubungi Roslan keesokan malam, tetapi tidak berangkat. Begitu juga malam-malam seterusnya hingga tujuh malam berturut-turut.

Ketika itu saya begitu kecewa. Mengapa Roslan mempermainkan perasaan saya? Saya cintakan Roslan.

Suatu malam, pukul 1 pagi, telefon rumah saya berdering. Saya cepat-cepat angkat dan ternyata panggilan itu dari orang yang ditunggu-tunggu, iaitu Roslan. Tapi malam itu, Roslan tidak banyak bercakap seperti sebelumnya. Dia lebih banyak diam membisu. Sekali ditanya, sepatah dijawab.

Agak lama berdiam diri, Roslan mula bersuara. Kata-kata Roslan malam itu membuatkan saya teringat hingga kini.

“Lain kali jangan seru saya dalam hidup awak,” kata Roslan berkali-kali.

Saya hairan kenapa Roslan berkata begitu? Kenapa Roslan cakap ‘jangan seru saya dalam hidup awak.’ Saya tidak faham dengan perkataan “seru”. Kenapa Roslan tidak cakap: “Jangan libatkan saya dalam hidup awak,” atau kata-kata lain.

 Kenapa perlu guna perkataan ‘seru’? Malam itu, juga merupakan panggilan terakhir Roslan kepada saya.

Apabila pulang ke maktab, segala yang berlaku saya ceritakan pada kawan-kawan. Semua yang mendengar ketawakan saya. Ada yang kata mungkin Roslan itu hantu, saya serunya ketika mengigau. Ada kata saya terlebih berangan. Ada yang kata saya menyerunya ketika buat pemujaan.

Tapi kata-kata pemujaan dari seorang kawan itu membuatkan saya teringat permainan Ouija Board yang saya main lima tahun dahulu. Dalam permainan itu, dikatakan saya akan berjumpa seorang lelaki yang namanya bermula dengan huruf `R’ dan kebetulan nama lelaki saya bercinta itu Roslan.

Lagi satu, katanya lelaki itu bekerja di bahagian akuatik. Akuatik itu bermaksud ada kena mengena dengan air dan Roslan bekerja sebagai penternak ikan. Akhir sekali, lelaki tersebut berasal dari utara. Roslan dari Kedah.

Kebetulan? Saya rasa tidak begitu!!!

Adakah Roslan sebenarnya adalah lelaki yang membunuh diri di rumah itu?

Tengah hari itu, saya terus menghubungi rumah Roslan. Malangnya diangkat oleh seorang wanita yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak perempuan.

Saya cuba bertanya, kenal tak lelaki bernama Roslan? Tetapi wanita itu memberitahu tiada sesiapa bernama Roslan. Suaminya nama lain, saudara maranya juga tiada bernama Roslan.

Saya tanya lagi mungkin sebelum ini ada jirannya pernah pinjam telefon rumahnya dan menghubungi saya? Jawab wanita itu, tiada siapa yang pernah berbuat demikian. Malah rumahnya juga terletak jauh dari rumah jiran-jiran. Paling dekat ada sebuah rumah kosong yang sudah lama tidak dihuni.

Wanita itu memberitahu, sepuluh tahun dahulu, rumah tersebut didiami oleh seorang lelaki. Lelaki itu tidak siuman dan merupakan seorang penagih dadah. Tetapi umur lelaki itu tidak panjang. Lelaki itu ditemui mati di dalam rumah tersebut dengan membunuh diri. Waktu itu tiada sesiapa yang berani menyewa rumah tersebut kerana dikatakan ada gangguan.

Apabila saya tanya siapa nama lelaki berkenaan, wanita tadi tidak pasti kerana tidak pernah berbual dengannya hinggalah lelaki itu mati.

Tetapi sejak menghubungi wanita itu, peristiwa pelik terus menghantui rumah saya. Setiap malam telefon rumah akan berdering selepas pukul 12 malam. Apabila diangkat tiada sebarang bunyi yang didengar kecuali sunyi sepi. Kejadian itu pula berlaku sebulan lamanya hingglah saya terpaksa memutuskan perkhidmatan talian rumah.

Sekarang sudah sepuluh tahun kejadian itu berlaku. Saya juga sudah berkahwin. Tetapi perkara itu masih menghantui fikiran saya.

Siapa sebenarnya Roslan? Adakah ia `roh’ dari Spirit of the Coin yang saya main dengan kawan-kawan 15 tahun dulu? Adakah dia datang menghantui saya sebab saya guna darah untuk seru dia? Atau ini semua kebetulan saja?

Siapa pula lelaki yang tak siuman dan mati bunuh diri itu? Adakah dia jelmaan Roslan? Atau hanya mainan perasaan saya saja?

Nota: Wanita yang menceritakan kisah ini hanya mahu dikenali sebagai Kak Linda. Beliau tidak mahu gambarnya disiarkan. Jangan bermain permainan ini kerana hukumnya HARAM dan berunsur syirik. Yang hadir itu sebenarnya bukanlah roh, tetapi…

———————————————-

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Bila nasihat tidak dihiraukan… Ayah sanggup tanam patung di kubur demi anak

“Aku cuma nak anak aku balik…” Itu luahan seorang ayah yang akhirnya menyesal seumur hidup selepas memilih jalan salah demi...

More Articles Like This