PURATA nilai kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) COVID-19 kebangsaan menyaksikan penurunan kepada 1.14 semalam.
Penurunan itu dicatatkan selepas kebolehjangkitan naik mendadak mencecah 1.15 berdasarkan kepada 17,045 jangkitan baharu, kelmarin.
Sebelum itu, nilai Rt menunjukkan trend penurunan selama satu minggu sehingga mencecah 1.07 pada 22 Julai lalu.
Bagaimanapun, kadar itu naik semula selepas negara merekodkan 15,902 kes harian baharu pada 23 Julai.
Sebagai rekod, Malaysia pernah mencatatkan nilai Rt penularan jangkitan COVID-19 tertinggi pada permulaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, 18 Mac tahun lalu dengan nilai 3.5.
Rt tertinggi direkodkan tahun ini pula adalah 1.21 pada 22 Mei lalu.

Berdasarkan data dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, kebolehjangkitan di lapan negeri merekodkan nilai lebih tinggi berbanding purata nasional.
Tiga negeri menyaksikan kadar kebolehjangkitan tertinggi iaitu Terengganu, Johor dan Kedah.
Baca artikel berkaitan: Kebolehjangkitan 10 negeri lebihi purata kebangsaan
Nilai Rt di Terengganu bagaimanapun merekodkan sedikit penurunan kepada 1.29, Kedah kekal pada paras sama iaitu 1.26 manakala Johor naik kepada 1.26.
Hari sebelumnya, Rt di Terengganu menyaksikan nilai tertinggi iaitu 1.36 sementara Johor mencatatkan 1.20.

Beberapa negeri lain turut mencatatkan nilai Rt di atas paras 1.20 termasuk Sabah, Kelantan dan Perak.
Kadar di Sabah turun sedikit kepada 1.23 manakala Perak naik mencecah 1.22 berbanding 1.19 yang dicatat kelmarin.
Kelantan pula kekal pada paras 1.22 berdasarkan 346 kes baharu yang dilaporkan di negeri itu semalam.
Walaupun masih menyumbang kepada kes baharu tertinggi seluruh negara tetapi kadar kebolehjangkitan di Selangor bagaimanapun susut sedikit kepada 1.14.

Kuala Lumpur pula merekodkan nilai yang sama seperti purata kebangsaan iaitu juga 1.14.
Kebolehjangkitan di Putrajaya pula naik kepada 1.16.
Penurunan kes baharu di Pahang yang merekodkan 386 jangkitan semalam pula membuatkan kadar kebolehjangkitan turut susut kepada 1.11.
Tiga negeri lain terus menyaksikan penurunan kebolehjangkitan iaitu Sarawak berada pada kadar 1.04, Melaka juga 1.04 dan Negeri Sembilan 1.00.
Sementara itu, kejayaan program vaksinasi di Labuan terus menampakkan hasil positif selepas kadar kebolehjangkitan menyaksikan trend penurunan apabila mencatatkan 0.66 semalam.
Hanya dua kes dilaporkan di Perlis semalam.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

