SIAPA yang suka menyimpan koleksi patung atau figura watak-watak terkenal? Pernah tak korang mengalami kejadian aneh? Ok, aku ceritakan kisah yang aku lalui beberapa tahun lalu.

Aku seorang peminat komik barat. Disebabkan obsess, aku jadi pengumpul koleksi patung dan figura watak-watak komik tersebut. Salah satu daripadanya ialah Malebolgia, figura antagonis dalam siri komik Spawn yang aku simpan.

Aku ada pengalaman ganjil dengan koleksi Malebolgia ini. Begini kisahnya…

Malebolgia, watak antagonis dalam siri komik Spawn.

Satu malam, aku tersedar dari tidur. Dalam bilik yang samar-samar, aku perasan semacam ada sesuatu di atas wardrobe. Aku cuba perhatikan, tapi tak berapa jelas. Aku gosok-gosok mata. Walaupun kurang jelas, tapi rasanya apa yang aku lihat itu seperti figura Malebolgia! Kenapa ia di atas wardrobe aku? Siapa yang letak di situ?

Aku bingkas bangun. Sempat lagi aku slide skrin handphone untuk melihat waktu. Pukul 1.52 pagi. Aku pandang ke arah wardrobe semula. Mana Malebolgia tadi? Hilang!

Aku on lampu. Memang tak ada apa-apa di atas wardrobe itu. Apa yang aku nampak tadi? Bingung kejap aku jadinya.

Kemudian, aku keluar menuju bilik yang menempatkan koleksi figura aku. Aku lihat Malebolgia ada di tempatnya, elok saja menyeringai diapit oleh figura Violator dan Redeemer.

Disebabkan takut Malebolgia ‘keluar lagi’ dari bilik koleksi figura tu, aku masukkannya ke dalam glass wardrobe, siap mangga lagi. Biarlah! Asalkan figura berwarna coklat itu tidak ‘berjalan’, sudah!

Selepas itu, keadaan ok semula. Tiada lagi bayang Malebolgia yang bertenggek di atas wardrobe dalam bilik aku.

Tetapi, tak berapa lama kemudian, berlaku lagi kejadian ganjil. Satu malam ketika melangkah masuk ke bilik, aku terpandang kelibat sesuatu di atas meja study. Adakah itu Malebolgia? Aduh, takkan sekali lagi! Takkan patung tu boleh bergerak! Bukan ke aku dah masukkan dalam glass wardrobe yang berkunci? Macam mana ‘dia’ boleh keluar? Macam mana ‘dia’ boleh masuk dalam bilik aku?

Aku pasang lampu dan pandang semula ke arah meja study. Susuk Malebolgia itu sudah tiada. Ghaib! Eh, hairan! Ke mana perginya susuk berketinggian 210 sentimeter tu?

Aku terus keluar pergi ke bilik koleksi figura aku tu. Ada! Memang Malebolgia ada di situ. Kedudukannnya tak berubah. Tapi, macam mana ‘dia’ boleh keluar dan ‘lepak’ di bilik aku sebentar tadi?

Bila dah dua kali berlaku keganjilan tu, akhirnya aku ceritakan kepada orang tua aku. Ayah aku ketawakan aku dan tak percaya dengan cerita aku. Tapi ibu aku percaya dengan apa yang aku sampaikan.

Tidak lama selepas itu, suatu malam, aku perasan seperti ada sesuatu di depan laptop yang aku hadap. Perlahan-lahan bebola mata aku bergerak dari skrin laptop ke arah objek yang aku nampak tadi. Tak ada sesiapa pun! Ada yang cuba nak mempermainkan aku ke?

Sementara aku mengadap laptop, sesekali mata aku melirik ke kawasan di sekitar bilik. Perasaan macam tadi datang lagi! Macam ada benda bergerak tapi tak nak kata macam mana. Hujung mata aku terpandang ada sesuatu di depan laptop. Kalau tadi perlahan-lahan aku alihkan pandangan dari skrin ke arah depan laptop, kali ini aku alihkan dengan pantas!

Wooo! Malebolgia tercegat depan aku! Aku terkejut! Rasa tak boleh bergerak. Lama juga aku ‘dipaksa’ memerhatikannya. Perlahan-lahan aku berpaling, bergerak ke pintu dengan harapan ‘dia’ tidak kejar aku.

Memang seram wei! Yang lebih menyeramkan adalah saiznya yang lebih besar daripada manusia biasa! Takutnya, Tuhan saja yang tahu. Sempat juga aku toleh ke arahnya sebelum keluar bilik. Tapi ‘dia’ sudah ghaib!

Aku terus berlari mengejutkan ibu dan ayah. Mereka terperanjat mendengar cerita aku. Keadaan kecoh juga waktu itu hingga membuatkan kakak dan adik perempun aku terjaga. Hanya adik lelaki aku saja yang tak bangun.

Ciri-ciri Malebolgia besar yang aku lihat itu sama dengan figura Malebolgia plastik dalam koleksi simpanan aku. Dagu dan rahangnya panjang. Hujung rahang bawahnya terdapat barisan gigi terletak jarang-jarang tajam menakutkan. Gigi tajam atasnya pula terkeluar daripada mulut. Bayangkan, muka yang menyeringai itu sentiasa menampakkan gusi yang hodoh.

Kedua mata satanic sepet merahnya terletak di bawah bonggolan kening keras dengan kulit menggerutu. Tanduk besarnya meruncing bengkok ke belakang. Dengan muka yang menggerutu, entah di mana letak hidungnya, tak dapat dipastikan.

Rambut putih panjangnya terletak di antara dua tanduk tadi. Di belakang kiri kanan pipinya terdapat sepasang lagi tanduk tajam meruncing bengkok ke depan. Sekali pandang, ia seakan taring.  

Badannya kurus namun berotot. Kukunya tajam, dan di bahagian atas pergelangan tangannya ditumbuhi sebaris duri-duri tajam, seakan tanduk-tanduk halus. Menyeramkan!

Itulah gambaran fizikal Malebolgia yang aku lihat. Kalau setakat Malebolgia plastik koleksi itu, aku tak hairan, tapi bila ia berdiri di depan mata dengan saiz sekali ganda manusia, ia amat-amat menggerunkan!

Dua hari selepas itu, adik lelaki aku (yang tak bangun semasa kali ketiga Malebolgia ‘melawat’ aku) masuk ke bilik aku dengan muka ketakutan. Pucat lesi! Dengan badan yang menggeletar dan tergagap-gagap, dia mula bercerita sesuatu.

Ketika menuju ke biliknya, dia terpandang ‘sesuatu’ yang teramat menakutkan di depan bilik koleksi figura aku! Ia adalah Malebolgia bersaiz sekali ganda saiz manusia, sama seperti apa yang aku saksikan!

** Kisah di atas diceritakan oleh Harry dari Kajang, Selangor berdasarkan pengalamannya sendiri.

___________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare