SEBANYAK 383 kes atau 2.3 peratus daripada 17,170 kes harian COVID-19 yang dilaporkan pada hari ini terdiri daripada kategori 3 hingga 5.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, selebihnya 16,787 kes atau 97.7 peratus berada bagi kategori 1 dan 2 iaitu tidak bergejala dan bergejala ringan.
Katanya, sebahagian besar kes baharu hari ini juga tidak mempunyai sejarah vaksinasi.
“Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa COVID-19.
“Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sementara itu, Noor Hisham berkata, sebanyak 174 kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan pada hari ini yang melibatkan 70 kes di Selangor.
Katanya, 20 kes lagi di Kuala Lumpur, masing-masing 17 kes di Johor dan Kedah, 10 kes di Melaka, masing-masing sembilan kes di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

“Turut dilaporkan masing-masing lapan kes di Sabah dan Terengganu, tiga (3) kes di Perak, dua (2) kes di Kelantan, dan satu (1) kes di Pahang,” jelasnya.
Ini menjadikan kes kematian akibat wabak itu di Malaysia berjumlah 8,725.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, sebanyak 36 kluster baharu dilaporkan dengan separuh daripadanya melibatkan tempat kerja.
Tambah beliau, ini diikuti kluster komuniti (14), kumpulan berisiko tinggi (tiga) dan pusat tahanan (satu).
Ketika ini, katanya, terdapat 1,064 kluster aktif di seluruh negara.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

