SEBANYAK 21 lokaliti dalam tiga mukim di Terengganu dan dua lokaliti di Sabah dikenakanPerintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Selasa ini hingga 16 Ogos depan.
Sembilan daripada lokaliti dikenakan PKPD di Terengganu berada dalam Mukim Kuala Dungun manakala Mukim Sura juga di Dungun (11) dan Mukim Jabi, Besut (satu).

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, berkata PKPD di Mukim Kuala Dungun terdiri Kubang Miang, Teratai, Teluk Lipat, Alor Tembesu, Sura Utara, Batu 48, Sura Gate, Bukit Chatak dan Tembesu Akar.
“PKPD di Mukim Sura pula adalah Batu 5, Sura Tengah, Alor Tempoyak, Taman Rakyat Jaya, Taman Delima Batu 6, Balai Besar, Sura Melati, Batu 7, Paya Balai Besar, Pak Sabah dan Sura Lapangan Terbang.
“Satu lagi lokaliti PKPD adalah Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Anak Ikan di Mukim Jabi, Besut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Keraian sembunyi-sembunyi masa Aidiladha antara faktor kes naik semula di Terengganu – MB


Menurut Hishammuddin, PKPD turut dilaksanakan di Perumahan Ladang Hibumas 2, Mukim Sungai-Sungai, Beluran dan Kampung Tagibang, Kota Marudu, Sabah.
Langkah mengenakan PKPD diambil setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19 di kawasan terlibat.
Prosedur operasi standard (SOP) semua PKPD pula adalah sama seperti yang diumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini dan maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my.


Sementara itu, beliau memaklumkan, seramai 207 individu dikenakan kompaun, manakala 28 lagi direman kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam perintah kawalan Pelan Pemulihan Negara (PPN), semalam.
“Menerusi Operasi Pematuhan sektor perkilangan dan premis perniagaan, pasukan itu memeriksa 1,761 kilang, 13,064 premis perniagaan, 448 tapak pembinaan dan 258 asrama penempatan pekerja.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 59 premis diarahkan tutup serta-merta kerana kegagalan mematuhi SOP ditetapkan,” ujarnya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

