Wali Allah meramal masa depan

Jika ada orang yang bertanya, “Bolehkah orang yang erat hubungannya dengan Allah mengetahui perkara ghaib terutamanya apa yang berlaku pada esok hari?” Jawapannya dapatlah dihuraikan seperti berikut;

Pertama, hanya Allah sahaja yang mengetahui perkara ghaib. Namun Allah boleh menyingkap sesuatu perkara ghaib itu untuk mana-mana hamba yang Allah kehendaki. Firman Allah surah al-Jin ayat 26-27,

“Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib maka Ia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapapun. Melainkan kepada mana-mana Rasul yang diredhai-Nya(untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Ia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan).”

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa perkara ghaib hanya diberikan kepada sebahagian para rasul.

Kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir a.s. jelas menunjukkan ada beberapa perkara ghaib yang disingkap kepada Nabi Khidir tetapi tidak disingkap kepada Nabi Musa a.s.

Kedua, Rasulullah s.a.w. juga telah menafikan dirinya mengetahui seluruh perkara ghaib. Allah  telah mengarahkan Baginda untuk mendeklarasikan perkara ini dengan firman Nya surah al-A’raf ayat 188,

Katakanlah: “Aku tidak berkuasa menarik kemanfaatan bagi diriku dan tidak (pula) menolak kemudharatan kecuali yang dikehendaki Allah. dan Sekiranya aku mengetahui yang ghaib, tentulah aku membuat kebajikan sebanyak-banyaknya dan aku tidak akan ditimpa kemudharatan. Aku tidak lain hanyalah pemberi peringatan, dan pembawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman.”

Tiada siapa yang boleh meramal apa akan berlaku di masa akan datang walaupun dia adalah wali Allah

Justeru, jika ada orang yang mendakwa bahawa terdapat para wali yang mengetahui tentang perkara yang akan berlaku hingga ke hari kiamat, kita perlu berwaspada. Jika yang dimaksudkan ialah perkara-perkara yang memang telah dinyatakan dalam al-Quran dan al-Hadis berkenaan ramalan dan petanda-petanda hari Kiamat serta peristiwa yang bakal berlaku di akhir zaman, maka tidak mengapa.

Namun jika yang dimaksudkan ialah perkara-perkara yang tidak dinyatakan dalam al-Quran dan al-Hadis, maka seharusnya umat Islam berwaspada. Jalan yang paling selamat ialah al-Quran dan al-Hadis.

Dalil-dalil daripada dua sumber ini telah menafikan ilmu ghaib daripada makhluk. Maka jika ada dakwaan bahawa ilmu ghaib dimiliki oleh seseorang wali, wajarlah pihak ini dijauhi kerana dakwaan ini bertentangan dengan prinsip Islam.

Walaupun begitu, kenyataan ini tidaklah menafikan ilham, mimpi yang salih dan firasat. Boleh sahaja seseorang hamba itu diberikan ilham, mimpi yang salih dan firasat oleh Allah. Kebiasaannya perkara-perkara ini adalah terhad dan tidak merangkumi segala yang akan berlaku bermula sekarang hinggalah ke hari Akhirat. Wallahu a’lam

_________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram