BERANI keluar daripada kepompong biasa dan dari zon selesa. Begitulah gambaran yang boleh diterjemahkan buat kumpulan Marhaen meski baru bertapak dan membina nama dalam industri muzik tanah air.
Dibarisi lima orang anak muda iaitu Hisyam Elharith,26, Saiful Anwar,26, Afeeq Ameen,25, Mohamad Hannan,27, dan Nor Mohd Shapuan,26, kumpulan anak muda ini ditubuhkan sekitar 2017.
Marhaen menerusi buah tangan terbaharu berjudul Menawan nekad menonjolkan kelainan sekali gus cuba berusaha menjadi ‘trend-setter’ baharu terhadap pembinaan karya yang bersifat kontemporari. Hal ini sekali gus diharapkan dapat memikat pendengar baharu ke arah mesej positif yang dibawa.
Menurut Hisyam Elharith, ketua Marhaen yang juga bertindak sebagai penulis lirik dan single kali ini, mereka terpanggil untuk hasilkan lagu dan karya yang mudah selain berkonsepkan mudah didengari.
“Kami perlukan mesej atau moral yang lebih santai serta melodi yang lebih mudah untuk diulang-ulang di bibir. Inspirasi lagu kali ini ada juga diambil daripada lagu internasional tapi kami cuba ketengahkannya dengan cara sendiri.
“Marhaen belum pernah ada single yang santai. Selalunya fokus kepada lagu yang ‘minor chord’ tapi untuk Menawan, kami tonjolkan kelainan dengan genre pop. Harapnya pendengar mampu terima,” katanya.
Menawan yang diharapkan dapat menambat hati pendengar bahkan peminat baharu melalui keunikan konsep melodi yang diketengahkan ini mengangkat mesej berkaitan penghargaan terhadap seseorang yang menerima diri seadanya.
Sudah pasti dedikasi ini tidak hanya untuk kekasih malahan mesejnya lebih luas kerana boleh juga ditujukan kepada sahabat, keluarga dan sesiapa sahaja yang dirasakan menawan dalam hidup.
Menawan terbitan Soofi Studio telah diperdengarkan sejak 16 Julai 2021 di kesemua plaftorm digital Spotify, Joox, Apple Music, YouTube Muisc, KKBox & Deezer. Muzik video rasminya juga boleh ditonton di saluran Youtube Soofi Studio.
Rancang Terbit Album Mini
Tidak menjadikan pandemik apatah lagi perintah kawalan pergerakan (PKP) yang masih dilaksanakan di seluruh negeri sebagai halangan untuk terus berkarya, Marhaen tetap sibuk mengambil inisiatif mempromosi single Menawan secara dalam talian (online).
Dalam perkembangan lain, Marhaen juga kini dalam proses menyiapkan beberapa karya lain yang dijangka akan dimuatkan dalam album mini mereka kelak.
“Harapnya peminat akan kekal sokong walaupun dalam musim pandemik,” luah Hisyam.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

