Zola Budd – Pelari berkaki ayam yang mencetuskan kontroversi di sukan Olimpik

Dari Penulis

KITA masih dalam momen sukan Olimpik yang sedang berlangsung di Tokyo ketika ini. Kali ini, kami ceritakan kisah salah seorang peserta Olimpik yang diingati dalam sejarah penganjuran sukan ini.

Masihkah anda ingat dengan seorang pelari wanita yang hanya berkaki ayam? Ingatkah anda dengan nama Zola Budd, pelari tanpa kasut yang pernah mencetuskan kontroversi dalam sukan Olimpik 1984?

Zola Budd.

Pada 10 Ogos 1984, berlangsung acara 3,000 meter peringkat akhir wanita di Sukan Olimpik yang berjalan di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Antara peserta yang menjadi tumpuan waktu itu ialah pelari berkaki ayam kelahiran Afrika Selatan, Zola Budd. Turut tersenarai sebagai juara bertahan adalah Mary Decker dari Amerika Syarikat.

Malangnya, ketika perlumbaan berlangsung telah berlaku satu insiden antara dua peserta ini hingga mencetuskan kontroversi dan perdebatan selama hampir 25 tahun.

Ketika perlumbaan itu, Zola baru berusia 17 tahun. Manakala Mary pula berumur 25 tahun. Sebaik perlumbaan bermula, Mary memecut laju, manakala Zola yang berlari tanpa memakai kasut mengejar rapat di belakangnya sambil diikuti peserta-peserta lain.

Pada jarak 1,700 meter, Zola berjaya memintas Mary. Malangnya, saat Mary mengekori rapat, berlaku kecelakaan yang tidak diingini. Paha kanan Mary telah termasuk dicelah kelangkang Zola, menyebabkan pelari top Amerika Syarikat itu jatuh tertiarap di atas trek. Dia terkeluar daripada perlumbaan itu kerana mengalami kecederaan. Zola yang tersadung kaki bagaimanapun tetap meneruskan lariannya. 

Insiden yang paling diingati apabila Mary (baju merah) terjatuh dan tidak dapat meneruskan larian. Zola pula disalahkan atas kejadian tersebut.

Insiden itu telah mencetuskan kemarahan penonton. Akibatnya, gadis berusia 17 tahun ini berasa gugup dan hilang tumpuan. Kerana rasa bersalah, Zola cuba memperlahankan rentak lariannya. Akhirnya, gadis bertubuh kecil ini hanya menduduki tempat ketujuh dalam perlumbaan itu. Pingat emas telah berjaya dirangkul oleh peserta bukan pilihan, Maricica Puica dari Romania.

Selepas perlumbaan, Zola berlari ke arah Mary untuk meminta maaf. Tetapi, permohonan maafnya tidak diterima, malah dia dihalau keluar. Sejak hari itu, rakyat Amerika terus menyalahkan pelari berkaki ayam ini. Kononnya, Zola  telah menggunakan teknik kotor dan tidak profesional hingga menjatuhkan pelari handalan mereka.

Zola dibenci rakyat Amerika dan disalahkan kerana menjatuhkan pelari mereka.

Nasib Zola bagaimanapun terbela apabila rakaman perlumbaan itu ditayangkan semula dan terbukti bahawa dia tidak bersalah. Namun, pengesahan itu tidak sedikit pun memadamkan rasa marah rakyat Amerika kepada Zola.

Peristiwa yang menghancurkan harapan dua pelari wanita ini untuk mendapatkan pingat emas dikatakan antara paling dramatik dalam sejarah sukan Olimpik. Kisah mereka juga telah mendapat liputan meluas media dari seluruh dunia.

Sebelum kemalangan itu, Zola dilaporkan pernah mencetuskan kontroversi apabila berhasil memecahkan rekod dunia acara 5,000 meter wanita. Catatan masa yang diperolehnya ialah 15:01.83,  enam minit lebih pantas berbanding catatan masa rasmi yang dipegang oleh Mary.

Entah mengapa, International Association of Athletics Federations (IAAF) enggan mengesahkan catatan masa yang dibuat oleh Zola, tapi masih mengekalkan nama Decker sebagai pemegang rekod dalam acara tersebut.

Pembatalan itu telah menghancurkan harapan Zola untuk melayakkan diri ke Olimpik. Afrika Selatan pula pada masa itu dilarang mengambil bahagian dalam olahraga antarabangsa kerana dasar aparteid (dasar yang membezakan warna kulit atau diskriminasi orang kulit putih terhadap orang berkulit hitam di Afrika Selatan).

Atas kekangan itu, beberapa bulan sebelum Sukan Olimpik Los Angeles bermula, Zola telah memohon untuk mendapatkan kerakyatan Britain. Hanya dengan cara itu, Zola boleh merealisasikan impiannya.

Permohonannya berjaya diproses dalam tempoh 10 hari. Keadaan ini membolehkan Zola beraksi pada sukan berprestij dunia itu.

Zola Budd.

Namun, keputusan memberikan kewarganegaraan Inggeris kepada Zola telah menimbulkan kemarahan di kalangan orang-orang yang pro-aparteid. Salah seorang yang mempersoalkan perkara tersebut ialah Presiden Amatur Atlet Eropah, Sir Arthur Gold.

Beliau mengatakan terdapat lebih 70,000 pemohon untuk mendapatkan kerakyatan yang sama seperti Zola, tapi terpaksa menunggu bertahun-tahun lamanya. Berdasarkan peraturan, untuk seseorang atlet mewakili negara masing-masing ke kejohanan antarabangsa perlu menjadi warganegara selama tiga tahun. Tapi, Zola terlepas daripada semua halangan itu.

Sungguhpun begitu, kehidupan baru Zola di negara kelahiran ayahnya itu, Frank Budd, tidak seindah yang digambarkan. Penghijrahannya itu tidak disenangi oleh rakyat Britain. Dia mendapat layanan buruk, malah terus dicemuh dan diperolok-olokkan.

Tidak tahan dengan keadaan itu, gadis berambut pendek ini mengambil keputusan untuk meninggalkan Britain dan kembali ke negara kelahirannya, Afrika Selatan. Di negara asalnya itu, atlet berdarah campuran Afrika-Inggeris ini masih meneruskan kariernya sebagai pelari berkaki ayam.

Zola Budd.

Walaupun banyak kontroversi menimpa dirinya, Budd tetap terus dikenang sebagai legenda trek balapan dunia. Kini, dia menjadi jurulatih di sebuah sekolah di South Carolina di Amerika Syarikat.

Zola Budd.

______________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Bila nasihat tidak dihiraukan… Ayah sanggup tanam patung di kubur demi anak

“Aku cuma nak anak aku balik…” Itu luahan seorang ayah yang akhirnya menyesal seumur hidup selepas memilih jalan salah demi...

More Articles Like This