qada solat orang koma

Koma adalah keadaan di mana seseorang itu berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tidak dapat memberi respon pada keadaan sekeliling. Pesakit yang koma tidak akan melakukan sebarang gerakan, mengeluarkan suara apa lagi membuka mata. Lazimnya pesakit yang koma, mereka tidak akan sedarkan diri untuk satu jangka masa yang lama, boleh jadi berhari-hari, berminggu-minggu, berbulan-bulan atau bertahun.

Justeru itu bagaimana dengan ibadah solat mereka? Adakah perlu diqada (diganti semula) solatnya atau pun tidak?

Menjawab persoalan ini menurut pandangan Syeikh al Maraghi, “Allah tidak akan membebankan seseorang dengan sesuatu yang tidak mampu mereka tanggung atau kerjakan. Ia sesuai dengan firman Allah S.W.T. dalam surah al-Baqarah: 286”

Allah tidak akan memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan apa yang diusahakannya.”

Dari ayat di atas, maka boleh kita simpulkan bahawa orang yang berada dalam keadaan koma dalam masa yang lama maka tidak perlu qada kerana pada tempoh waktu tersebut akalnya tidak berfungsi dengan sebaiknya kerana salah satu dari syarat wajib solat hendaklah orang yang berakal.

Ia samalah dengan keadaan orang yang gila, pengsan, mabuk atau lainnya. Mereka tidak disyaratkan wajib solat. Ini turut disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ali bin Abi Thalib r.a. bahawa Baginda s.a.w. bersabda,

Diangkat pena daripada 3 golongan iaitu, orang yang tidur sehingga ia bangun. Daripada ia bayi hingga remaja (baligh) dan daripada orang yang cacat mental sehingga ia berakal.” – HR Tirmizi

Di dalam kitab al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie ulama telah mengqiaskan bagi orang yang hilang akal mereka, atau orang yang gila sama ada dalam tempoh masa yang sekejap atau lama, jika mereka sembuh dan ada baki masa untuknya solat (bertakbir) maka wajib baginya solat. Akan tetapi tidak wajib mereka mengqadakan solat dalam tempoh hilang akal.

Tidak perlu qada solat jika koma dalam tempoh masa yang lama.

Malah Imam an-Nawawi menjelaskan dalam kitabnya al-Majmu’ sesiapa yang hilang akalnya dengan sebab yang tidak diharamkan oleh syarak seperti menjadi gila, koma atau pengsan, hilang akal dengan sebab sakit atau minum ubat kerana keperluan atau dipaksa minum sesuatu minuman yang memabukkan hingga hilang akalnya, maka dia tidak wajib solat dan apabila dia tersedar, tidak diwajibkan qada sama ada tempoh masa dia hilang akal, atau pengsan itu lama atau sekejap.  

Pandangan ini turut dipersetujui oleh Imam Malik dan Syafie yang berpendapat tidak perlu qada kerana ia tidak termasuk dalam mukallaf, dalam pengsan atau koma. Hanya mazhab Hanbali dan Hanafi sahaja yang berpendapat perlu qada.

Itu berdasarkan satu kisah yang diriwayatkan

“Bahawa Ammar pernah pengsan selama 3 malam. Apabila terjaga, beliau bertanya, “adakah aku telah solat?” mereka menjawab, “kamu tidak solat sejak 3 malam” kemudian beliau berwuduk dan qada solat selama 3 malam itu” HR Ibn Abi Syaibah dalam Musannaf.

Walau bagaimanapun sebagai kesimpulannya, pandangan dari Pejabat Mufti Wilayah melalui penerangannya dalam al-Kafi berpendapat orang yang koma dalam tempoh masa yang pendek atau kurang dari 3 hari perlu mengqadakan solatnya. Namun mereka tidak perlu ganti solat jika koma atau pengsan dalam tempoh yang lama iaitu lebih dari 3 hari. Wallahu a’lam

___________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram