KEDUDUKAN UMNO semakin bercelaru selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) menyatakan keputusan parti itu menangguhkan pemilihan kepimpinan di semua peringkat merangkumi Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Bahagian dan Cawangan selama 18 bulan adalah tidak sah.

Ketua Pengarah RoS, Jasri Kasim hari ini berkata, MKT UMNO yang diketuai Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hanya boleh menjalankan kerja-kerja pentadbiran parti atau sebagai ‘caretaker.’

Menurutnya, UMNO kini hanya berfungsi sebagai ‘caretaker’ iaitu boleh membuat pengurusan pentadbiran biasa parti, manakala sebarang pelaksanaan atau keputusan dasar harus dibawa ke perhimpunan agung dahulu.

MKT UMNO telah membuat beberapa keputusan besar mewakili parti itu, terutamanya menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

BERITA BERKAITAN MKT UMNO tidak boleh buat keputusan, hanya caretaker

Menjawab persoalan tersebut, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, UMNO tidak pernah menerima pemakluman daripada RoS mengenai perkara tersebut.

“Belum ada sebarang keputusan dibuat susulan perjumpaan semalam (Isnin). Tak ada bincang (isu caretaker),” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

Sebaliknya, beliau berkata, RoS akan meneliti dan mengkaji surat penjelasan tambahan yang dikemukakannya terlebih dahulu memandangkan UMNO telah mengemukakan maklumat-maklumat baharu.

Ahmad berkata, pihaknya mengadakan perbincangan dengan RoS semalam yang berlangsung sekitar satu jam dan mengharapkan semua pimpinan dan ahli UMNO menunggu keputusan yang akan dibuat. – UtusanTV