PKR terus memberikan tekanan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya meletakkan jawatan sejajar dengan prinsip Perlembagaan yang dijunjung setiap rakyat Malaysia.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin berkata, penentangan Muhyiddin serta kerajaan Perikatan Nasional (PN) secara terbuka terhadap Raja-Raja Melayu khususnya Yang di-Pertuan Agong dilihat krisis antara kerajaaan dan istana paling parah.
Kata beliau, sikap angkuh dan degil ditunjukkan Perdana Menteri jelas bertentangan dan melanggar prinsip Perlembagaan.
Beliau berkata, masyarakat berasa hairan dan mual apatah lagi PN kononnya tertubuh dengan semangat kerajaan dan pimpinan Melayu Islam demi menjaga hak orang Melayu serta kedaulatan Raja-Raja Melayu.
“Muhyiddin melalui satu episod pengkhianatan tempoh hari masih berdegil untuk kekal di tampuk pemerintahan walaupun telah jelas beliau kini telah hilang sokongan majoriti di Parlimen.
Baca artikel berkaitan: Sultan Johor terima menghadap Muhyiddin di Istana Pasir Pelangi
“Malaysia perlu diselamatkan dan sewajarnya semangat Perlembagaan dikembalikan dan penaakulan terhadap makna Rukun Negara iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara dijajarkan semula dengan segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Shamsul Iskandar berkata, kerajaan langsung tidak menghiraukan kekhuatiran dan kesengsaraan rakyat ketika ini.
Menurut Shamsul Iskandar, PN terlalu asyik berpolitik dan bermesyuarat siang malam untuk mengekalkan kuasa serta pemerintahan.
“Tindakan yang lebih tuntas dan efektif dituntut daripada kerajaan PN untuk seluruh jentera kerajaan ditumpukan kepada program melawan COVID-19 serta membela ekonomi rakyat.
“Bagi mengakhiri segala kemelut dan kekalutan yang dicetuskan kerajaan PN ini kami menuntut Muhyiddin meletakkan jawatan selaras dengan prinsip Perlembagaan yang dijunjung oleh setiap rakyat negara ini,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

