SULTAN Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari ini.
Pertemuan Perdana Menteri bersama baginda berlangsung di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru.
“Saya menjemput beliau (Tan Sri Muhyiddin) untuk santapan tengah hari dan beliau turut mempersembahkan kepada saya mengenai perkembangan negara pada masa sekarang,” titah Sultan Johor kepada Royal Press Office (RPO) seperti dalam hantaran Facebook baginda.

Baca artikel berkaitan: Sultan Ibrahim beri amaran bubar DUN Johor jika ADUN terus bertelagah
PM hadir hari pertama Sidang DUN Johor
Terdahulu, pada pagi tadi Muhyiddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir menghadiri persidangan hari pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang berlangsung di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.
Pembukaan Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-14 pada hari ini dirasmikan oleh Sultan Ibrahim.
Dalam pada itu, Muhyiddin menerusi Facebook beliau menjunjung setinggi-tinggi penghargaan terima kasih atas perkenan baginda menerima beliau menghadap tengah hari tadi.
“Pada sesi itu, saya mempersembahkan perkembangan semasa isu-isu di dalam negara untuk makluman Baginda Tuanku.
“Baginda Tuanku juga turut berkenan untuk santapan tengah hari dan mempersila saya bersama-sama untuk turut serta. Menjunjung kasih Tuanku,” kata Perdana Menteri.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

