BEBERAPA pemimpin parti politik menyifatkan kesediaan kerajaan mewujudkan kerjasama bipartisan dengan pembangkang serta cadangan mewujudkan rangka persefahaman rentas parti sebagai langkah matang bagi menstabilkan krisis politik semasa dengan mengutamakan kepentingan rakyat.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata kerjasama bipartisan yang dicadangkan kerajaan itu membuka ruang untuk semua parti politik di Malaysia melibatkan diri dalam usaha memerangi COVID-19 selaras dengan konsep ‘Whole of Nation’ dan ‘Whole of Society’ yang diamalkan kerajaan.
“Pertelagahan politik yang berterusan tidak memberi manfaat kepada rakyat. Sekarang adalah masa untuk semua pihak duduk dalam satu saf yang sama dan menggembleng seluruh tenaga yang ada demi memastikan kita menang bersama dalam melawan pandemik yang melanda,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah, yang juga Pengerusi PN Pahang, pula berkata, ucapan khas Bersama Memulihkan Negara oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat sebagai mercu tanda dalam politik Malaysia.
“Ia matang, inklusif dan bipartisan, punya elemen pembaharuan. Semoga tawarannya mendapat sokongan menstabilkan politik kini yang terlalu adversarial. Kerana kita mesti mengutamakan rakyat,” kata beliau menerusi ciapan di laman Twitternya.
Muhyiddin, dalam ucapan khas hari ini, berkata kerajaan PN yang diterajuinya telah mencapai kata sepakat untuk berunding dengan pimpinan parti di luar PN bagi mewujudkan kerjasama bipartisan demi kestabilan negara dan memastikan kerajaan dapat terus berfungsi ketika pandemik COVID-19.
Kerajaan turut mengemukakan tujuh cadangan rangka persefahaman rentas parti yang akan dilaksanakan sekiranya usul undi percaya terhadap Perdana Menteri diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bangi Dr Ong Kian Ming, yang juga Penolong Pengarah Pendidikan Politik DAP, berkata semua parti politik perlu duduk bersama bagi membincangkan sama ada ia boleh diterima atau tidak.
“PM Muhyiddin telah mengusulkan langkah ke hadapan dengan beberapa pembaharuan institusi yang mampu meninggalkan kesan berkekalan terhadap politik Malaysia, jika ia diluluskan,” katanya dalam ciapan Twitter.
BERITA BERKAITAN Kerjasama politik dengan PH…Adakah itu ‘strategi’ UMNO?
Bekas Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, yang juga bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pula berkata cadangan kerajaan, yang disifatkannya sebagai pengumuman bersejarah, merupakan suatu reformasi yang amat diperlukan ketika ini.
“Saya doakan cadangan pembaharuan yang disebutkan akan menjadi kenyataan. Saya harap Ahli Parlimen akan memberi keutamaan kepada rakyat apabila membuat keputusan kelak,” katanya menerusi laman sosial Instagram hari ini.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili pula berkata pengumuman Perdana Menteri itu adalah satu peluang yang jarang diperoleh untuk menjalin kerjasama serta mengetepikan perbezaan politik sekali gus menepati slogan ‘rakyat didahulukan.’
“Tujuh cadangan ke arah kestabilan dan kerjasama yang diutarakan oleh Perdana Menteri hendaklah dipertimbang secara positif oleh semua pihak.
“Ini adalah peluang untuk mewujudkan kerjasama antara parti dan berganding bahu dalam mengembalikan negara ke landasan yang kukuh ke arah mencapai pemulihan kesihatan serta ekonomi.
BERITA BERKAITAN Usaha lulus undi percaya, kerajaan berunding dengan parti-parti pembangkang – Muhyiddin
“Saya menyeru agar semua rakan dalam pembangkang merebut peluang ini untuk meletakkan keperluan dan keutamaan negara ke arah mencapai kestabilan ekonomi serta politik, dan bersama-sama membawa negara ke hadapan sebagai komitmen solidariti kita,” menurutnya dalam kenyataann malam ini.
Sementara itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO mengharhai pengakuan Muhyiddin yang akhirnya secara terbuka bahawa beliau sudah tidak lagi mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen.
“Dengan pengakuan ini, maka YB Pagoh sudah tiada lagi keabsahan untuk menjalankan tugas-tugas selaku Perdana Menteri yang sah sebagaimana Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.
“Selaku Ahli Parlimen yang berpegang kepada sumpah jawatan untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan, YB Pagoh tidak wajar merampas kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam menentukan urusan pelantikan Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan. – UtusanTV

