Bersempena dengan fenomena hujan meteor yang berlaku beberapa hari yang lalu, Al Islam berkongsikan sedikit tentang keajaiban ciptaan Allah di luar angkasa yang mana manfaatnya dirasai oleh kita umat manusia di bumi.
Sejarah mencatatkan Ibnu Al-Haytham adalah ilmuwan Islam yang menjadi perintis mengutarakan teori bulan memantulkan cahaya matahari secara sekata pada abad ke-10 Masihi. Sebelum itu, manusia mempunyai pelbagai persepsi tentang cahaya bulan, terutamanya apabila melibatkan fenomena gerhana dan bulan purnama.
Hampir kesemua ilmuwan zaman kuno mengandaikan bulan memiliki cahayanya sendiri. Ketika zaman pencerapan angkasa masih di peringkat awal, manusia percaya, bumi adalah pusat angkasa, manakala bulan dan matahari bergerak mengorbit bumi untuk menghasilkan suasana siang dan malam. Teori tersebut turut diselang seli dengan beberapa mitos lain mengenai bulan.
Orang-orang India zaman dahulu misalnya percaya, apabila bulan tidak bercahaya, bakteria-bakteria di atmosfera akan menjadi aktif. Disebabkan itu, mereka dilarang untuk makan atau memasak ketika fenomena tersebut berlangsung. Makanan-makanan yang telah terhidang juga perlu dibuang kerana dikhuatiri tercemar.
Masyarakat China kuno pula beranggapan fenomena gerhana bulan mempunyai kaitan dengan seekor naga langit yang telah menelannya. Justeru, setiap kali gerhana berlaku, mereka akan membakar mercun untuk menakut-nakutkan sang naga. Kepercayaan ini wujud sehingga abad ke-19 dan ia turut dikongsi oleh suku orang asli Amerika.
Pada tahun 840 Masihi, dikhabarkan Raja Louis dari Perancis juga telah meninggal dunia ketika menyaksikan fenomena gerhana bulan yang berlangsung selama lima minit. Beliau mati disebabkan histeria kerana terlalu takut cahaya bulan tidak lagi akan menyinari bumi pada waktu malam.
Ketika ilmuwan Islam sudah mencapai kemajuan dalam ilmu astronomi, masyarakat di Eropah dan kebanyakan bahagian lain di dunia masih lagi mempercayai bulan mengeluarkan cahayanya sendiri. Menjelang zaman pertengahan, wacana tentang bulan mula berubah.
Kebanyakan ilmuwan pada ketika itu beranggapan bulan hanyalah satu objek berbentuk bulat sekata dan memantulkan cahaya. Tetapi pendapat ini masih belum diterima sepenuhnya kerana tidak mempunyai bukti yang kukuh.
Pada 1609, Galileo Galilei menjadi orang pertama menyatakan bulan adalah objek lunar. Teori tersebut dikemukakan setelah beliau melakukan pencerapan dengan bantuan teleskop. Sehinggalah pada 20 Julai 1969, ketika mana Neil Armstrong menjadi orang pertama menjejakkan kaki ke bulan, misteri ini berjaya diungkai secara sahih.

Di sebalik pelbagai teori yang diutarakan oleh manusia, Al-Quran turut menyentuh tentang perkara ini. Kitab suci agama Islam yang diwahyukan pada abad ke-7, memberi kiasan mengenai bulan yang memantulkan cahaya melalui beberapa surah.
Bulan sebagai objek memantulkan cahaya?
Menurut pensyarah di Pusat Pengajian Umum Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya. Dr. Arip Kasmo, sepotong ayat dari surah Al-Furqan ayat: 45 sudah cukup untuk menggambarkan bulan adalah objek pantulan. Firman Allah yang bermaksud,
“Apakah kamu tidak memerhatikan (penciptaan) Tuhanmu, bagaimana dia memanjangkan (dan memendekkan) bayang-bayang. Dan sekiranya Dia menghendaki nescaya Dia jadikannya (bayang-bayang) itu tetap, kemudian Kami jadikan matahari sebagai petunjuk.”
Dr. Arip menjelaskan, al-Quran mengilustrasikan perkara ini dalam satu ayat wasfiyah, yang mana matahari ditakrifkan sebagai bersinar (siraaj) manakala bulan pula bercahaya (munir). Di dalam kamus bahasa Arab, perkataan ‘siraaj’ diertikan sebagai lampu atau pelita yang menyala dan berapi. Berdasarkan kefahaman ini, matahari sebenarnya dianggap objek yang mengeluarkan cahaya sendiri melalui proses tertentu yang berlaku di dalamnya.
Manakala ‘nur’ atau ‘munir’ pula ditakrifkan sebagai kilauan cahaya atau silau. Justeru, pemahaman ini membawa maksud, bulan tidak mengeluarkan cahayanya sendiri, tetapi memantulkan cahaya matahari yang menimpanya.
Jelas Dr. Arip, ayat ini menjelaskan perbezaan antara matahari dan bulan dalam konteks cahaya yang dikeluarkan oleh kedua-dua objek langit itu. Kiasannya adalah seperti lampu dan cermin – lampu mengeluarkan cahaya sedangkan cermin pula memantulkannya.
Kata Dr. Arip lagi, setiap objek di luar angkasa sebenarnya mempunyai albedo iaitu ukuran kemampuan sesuatu objek untuk memantulkan cahaya. Sebagai contoh ialah seperti ais dan tanah, yang mana albedo tanah agak rendah, manakala ais memiliki albedo yang tinggi.

Bulan juga sebenarnya mempunyai albedo yang sangat rendah. Cahaya terang tersebut sebenarnya terhasil dari efek oposisi. Dalam kes cahaya bulan, matahari yang bersinar langsung ke arahnya menimbulkan cahaya.
Pantulan cahaya ini kemudian diperkuat lagi oleh sejumlah besar debu di permukaannya, sehingga ia kelihatan lebih terang pada waktu malam. Itulah antara mukjizat dan kehebatan al-Quran yang dapat dibuktikan melalui sains.
Sememangnya terlalu banyak manfaat yang diterima manusia dalam penciptaan bulan dan matahari. Ia bukan sahaja menjadikan kegelapan malam terlihat indah dengan cahayanya malah lebih dari itu peredaran bulan juga menjadi asbab kepada perubahan hari, bulan dan tahun yang silih berganti.
Ini sesuai dengan firman Allah dalam surah Yunus: 5, “Dialah yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan ditetapkannya manzilah-manzilah (tempat-tempatnya) bagi perjalanan bulan itu, supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan (waktu). Allah tidak menciptakan yang demikian itu melainkan dengan hak. Dia menjelaskan dengan tanda-tanda (kebesaran-Nya) kepada orang-orang yang mengetahui.”
Harus diingat, al-Quran adalah kalam Allah. Kerana Dialah yang mengetahui segala-galanya, dan Dia juga berhak ke atas apa yang ada di atas muka bumi ini. Wallahu a’lam
__________________________
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

