SPEKULASI Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri esok semakin kuat dan ia disahkan oleh salah seorang pemimpin kanan parti Bersatu hari ini
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, Perdana Menteri dijangka menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara esok.
“Esok akan ada mesyuarat khas kabinet sebelum Muhyiddin menghadap Agong untuk mempersembahkan surat peletakan jawatan,” kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tigas Khas) tersebut kepada portal Malaysiakini.
Ahli Parlimen Alor Gajah tersebut berkata, hasrat Muhyiddin tersebut dinyatakan dalam pertemuan dengan ahli-ahli Parlimen Bersatu selama kira-kira dua jam di Publika, Kuala Lumpur pagi ini..
Antara pemimpin yang hadir dalam perbincangan itu adalah Timbalan Menteri Kementerian Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaafar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah; Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mansor Othman; Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Noor Azmi Ghazali dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin.
Kata Mohd Redzuan, Muhyiddin sudah mencuba sebaik mungkin untuk mempertahankan keadaan dan kedudukan kerajaan, namun ikhtiarnya itu tidak membuahkan hasil.
Kelmarin. Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan parti-parti lain sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat, bagaimana cadangan tersebut ditolak oleh kebanyakan pemimpin parti pembangkang
BERITA BERKAITAN PM tiada pilihan selain letak jawatan – Pemuda UMNO
Mohd. Reduan berkata, peletakan jawatan adalah pilihan terakhir yang ada pada Muhyiddin selepas bilangan ahli parlimen yang menyokongnya menyusut dan tidak mencukupi di Dewan Rakyat.
“Maka ini adalah tindakan yang betul dan terhormat untuk Muhyiddin mengikut perlembagaan, dan terserah keapda Agong sama ada mahu menerima peletakan jawatan tersebut atau tidak,” katanya memetik laporan portal tersebut.
Bagaimanapu, katanya, pihak yang bersungguh-sungguh mahu menjatuhkan Muhyiddin dan PN juga tidak boleh bergembira atau meraikan perkembangan berkenaan buat masa ini kerana mereka juga masih tidak mempunyai sokongan mencukupi dan calon Perdana Menteri baharu.
Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima blok Bersatu masih memiliki sokongan terbesar berbanding mana-mana kumpulan lain termasuk Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim atau pengerusi penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad.
Umno juga, katanya, tidak mendapat sokongan majoriti dalam kalangan ahli parlimen.
“Maka terserah kepada Agong untuk menggunakan kebijaksanaan baginda bagi membuat keputusan. Kami mengikut perlembagaan, tak boleh membantah.
“Kami katakan kami ada 100 ahli parlimen, terpulang kepada Agong untuk putuskan,” katanya.
BERITA BERKAITAN PH minta semua penentang Muhyiddin sokong Anwar Ibrahim sebagai calon PM
Ditanya suasana semasa Muhyiddin mengumumkan rancangannya itu di depan ahli-ahli parlimen Bersatu, Mohd Redzuan berkata, ahli parlimen Pagoh terbabit tidak menunjukkan perasaan sedih.
“Tidak… dia sangat tenang, dia seorang yang berprinsip,” katanya.
Menurut sumber, beberapa pemimpin PN dikatakan mengunjungi kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara bertujuan memujuk beliau menarik balik hasrat tersebut. – UtusanTV

