anwar
Anwar Ibrahim adalah calon terbaik bagi PH bagi menggantikan Muhyiddin Yassin- Gambar Astro AWANI

PAKATAN Harapan (PH) meminta semua Ahli Parlimen yang menentang dan menolak Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bersama menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri bagi membuktikan sokongan serta membentuk satu majoriti baharu di Parlimen.

Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan menyatakan demi masa depan rakyat dan negara, semua pihak yang menentang Muhyiddin perlu bersama di meja rundingan sekarang untuk membentuk sebuah kerajaan yang inklusif, adil dan progresif dengan setiap parti dilayani secara adil.

Walaupun permintaan itu ditujukan kepada Ahli-ahli Parlimen UMNO yang telah menarik semula sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin, bagaimanapun sebelum ini Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah menyatakan pendirian parti itu menolak sebarang kerjasama dengan PKR, DAP dan BERSATU.

“Perlu saya tegaskan di sini mengenai pendirian kita dalam menghadapi PRU-15. Kita tetap dengan keputusan Majlis MKT UMNO… ‘No BERSATU, No Anwar, No DAP,'” tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika Perhimpunan Agung UMNO 2020, baru-baru ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Majlis Presiden PH mengulangi pendirian bahawa mereka tetap menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri dan tidak bersetuju untuk diadakan sebarang pilihan raya umum ketika pandemik memuncak.

BERITA BERKAITAN UMNO tarik balik sokongan kepada Muhyiddin, kerajaan PN – Zahid Hamidi

“Perlu diingatkan bahawa penggal terakhir Parlimen ke-14 hanya akan tamat pada 16 Julai 2023,” kata kenyataan itu yang merupakan kenyataan bersama tiga pemimpin parti utama komponen PH iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakili PKR, Mohamad Sabu (Amanah) dan Lim Guan Eng (DAP).

“Walaupun setakat ini umum sedia maklum hanya 100 Ahli Parlimen menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan 120 Ahli Parlimen tidak menyokong, namun beliau enggan meletakkan jawatan secara terhormat berdasarkan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan,” kata mereka.

Kenyataan itu berkata, rakyat berharap para pemimpin politik akan dapat mencapai penyelesaian yang mampu merungkai masalah ini dan seterusnya membolehkan kepimpinan berwibawa tampil untuk membantu negara membendung penularan wabak COVID-19 dan memacu pemulihan ekonomi pasca-pandemik.

“Pada ketika jumlah kes aktif COVID-19 melebihi 200,000, lebih 1,000 pesakit berada di ICU, dan setiap hari kita menyaksikan beratus orang yang meninggal akibat COVID-19, serta isu pekerjaan dan pendapatan yang membelenggu rakyat, kita amat memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, berkesan, dan dipimpin seorang Perdana Menteri yang mempunyai keabsahan serta sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen,” katanya. – UtusanTV