KESEPADUAN menerusi Keluarga Malaysia yang ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob amat diperlukan bagi menanam jati diri dalam masyarakat Malaysia untuk berdepan dengan pandemik COVID-19 ini.
Mantan Ketua Pengarah Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Pahlawan Dr Md Amin Muslan berkata, justeru, beliau bersyukur Perdana Menteri beriltizam untuk memberi tumpuan meningkatkan usaha mengawal penularan wabak COVID-19 melalui pendekatan “Whole of Goverment” dan “Whole of Nation”.
Katanya, ini bagi memastikan pandemik ini cepat dapat dikawal dan kehidupan rakyat akan cepat dikembalikan kepada norma baru yang lebih selamat dan produktif.
“Saya berharap Perdana Menteri Kesembilan ini dapat memberi nafas baru kepada kebersamaan tindakan semua agensi dan sektor kerajaan serta swasta dan membuka ruang baru bagi pendekatan yang inovatif dan efektif dalam menyelesai permasalahan kawalan wabak COVID-19 negara.
“Saya juga berharap pendekatan yang sama juga dapat digunakan bagi mencari jalan pembukaan sektor ekonomi dengan selamat demi kelangsungan kehidupan rakyat dan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Md Amin, untuk itu, usaha pengukuhan kesihatan awam, Program Immunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), peningkatan keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta program sokongan sosial kepada mereka yang terjejas teruk perlu diteruskan dan diperkasakan.
Kata Dr Md Amin, beliau berharap pelantikan Ismail Sabri akan memberikan nafas dan iltizam baru untuk negara bangkit dan bersatu dalam perang melawan COVID-19 dan membebaskan Malaysia dari kesengsaraan hidup dan kehidupan akibat penularan penyakit COVID-19 .
“Mendengar ucapan amat jelas kepentingan negara bersatu dan bersama menggembeling kekuatan melalui pendekatan Keluarga Malaysia yang merangkumi semua bangsa, kaum dan parti politik di Malaysia,” jelasnya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

