SEBANYAK tujuh lagi lokaliti di Pahang dan Sabah akan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan peningkatan kes positif COVID-19.
Pelaksanaan PKPD di tujuh lokaliti akan dilaksanakan bermula Isnin ini selama dua minggu.
Ia menyusuli lima kawasan yang telah dikenakan PKPD di Kelantan dan Sabah bermula esok.
Perkara berkenaan diumumkan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad dalam kenyataan hari ini.
Keputusan melaksanakan PKPD di tujuh lokaliti di Pahang dan Sabah itu dilakukan setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19.

Rodzi berkata, penguatkuasaan PKPD di tujuh lokaliti itu akan berpanjangan sehingga 12 September depan.
Baca artikel berkaitan: Lima lokaliti di Kelantan, Sabah kena PKPD, dua lagi lanjut
14 lokaliti di Johor, Sabah, Kelantan, Terengganu kena PKPD

“Empat daripada lokaliti itu dalam daerah Putatan, Sabah melibatkan Taman Ketiau, Platinum Apartment, Taman Teluk Villa dan projek perumahan rakyat (PPR) Taman Sri Serigai.
“Tiga lagi terletak di mukim Hulu Cheka, Jerantut, Pahang membabitkan Kampung Batu Balai, Kampung Congo dan Kampung Perlok,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Rodzi turut memaklumkan, beberapa lagi lokaliti yang dikuatkuasakan PKPD di kedua-dua negeri itu bagaimanapun akan ditamatkan, esok.

Katanya, ia melibatkan PKPD di Kampung Sungai Pukul dan Kampung Muhibbah Raya, Tawau serta Kampung Paka Kawiyan dan Kampung Matupang di Ranau.
Selain itu, kata beliau, PKPD juga akan ditamatkan di Pekan Donggongon, Penampang; Perumahan Ladang Excellent Challenger 2, Beluran serta Kampung Sembirai Lebak Engad, Kota Belud.
“Satu lagi lokaliti yang akan ditamatkan adalah Kampung Orang Asli Terisu, Cameron Highlands, Pahang.
“PKPD di Kampung Seberang Sungai Ular, Kuantan yang mula pada 22 Ogos lalu pula akan ditamatkan lebih awal mulai esok.
“PKPD di lokaliti tersebut sepatutnya tamat pada 4 September depan,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

