SEBANYAK lima lagi lokaliti di dua negeri akan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan peningkatan kes positif COVID-19.
PKPD terbaharu itu melibatkan kawasan di Kelantan dan Sabah.
Pelaksanaan PKPD di lima lokaliti akan dilaksanakan bermula Ahad ini selama dua minggu.
Ia menyusuli 14 kawasan yang telah dikenakan PKPD di empat negeri bermula esok.
Perkara berkenaan diumumkan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad dalam kenyataan hari ini.
Keputusan melaksanakan PKPD di lima lokaliti di Kelantan dan Sabah itu dilakukan setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19.
Rodzi berkata, penguatkuasaan PKPD di lima lokaliti itu akan berpanjangan sehingga 11 September depan.
“Tiga daripada lima lokaliti itu berada di Pasir Mas, Kelantan manakala dua lagi di Sabah iaitu di Ranau serta Penampang.
Baca artikel berkaitan: 14 lokaliti di Johor, Sabah, Kelantan, Terengganu kena PKPD
“Lokaliti di Pasir Mas adalah sebahagian Kampung Banggol Kemian dan Kampung Bayu Lalang serta sebahagian Kampung Repek dalam mukim Gual Periok.
“Pelaksanaan PKPD di Ranau pula melibatkan Kampung Debut manakala Kampung Tindai Kolopis di Penampang, Sabah,” katanya dalam kenyataan itu.
Sementara itu, Rodzi turut memaklumkan pelanjutan PKPD di dua lokaliti yang berada di Sabah selama dua minggu hingga 11 September depan.
Menurut beliau, PKPD di kedua-dua lokaliti tersebut sepatutnya tamat esok.
“Pelanjutan PKPD itu melibatkan Kampung Brunei, Membakut, Beaufort dan Kampung Manggaris 2, Kota Marudu,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

