SEBANYAK 14 lagi lokaliti di empat negeri akan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan peningkatan kes positif COVID-19.
PKPD terbaharu itu melibatkan kawasan di Johor, Sabah, Kelantan dan Terengganu.
Pelaksanaan PKPD di 13 lokaliti akan dilaksanakan bermula Sabtu ini selama dua minggu.
Hanya PKPD di Johor melibatkan Kampung Orang Asli Simpang Arang, Johor Bahru akan berkuat kuasa esok.
Perkara berkenaan diumumkan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad dalam kenyataan hari ini.
Keputusan melaksanakan PKPD di 14 lokaliti di Johor, Sabah, Kelantan dan Terengganu itu dilakukan setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19.
Baca artikel berkaitan: 12 lagi kawasan di Sabah, Pahang dan Johor dikenakan PKPD
Rodzi berkata, pelaksanaan PKPD di 13 lokaliti lain akan dikuatkuasakan selama dua minggu sehingga 10 September depan.
Menurut beliau, Terengganu menjadi negeri tertinggi pelaksanaan PKPD melibatkan tujuh kawasan yang kesemuanya terletak dalam mukim Paka, Dungun.
“Ia melibatkan Bandar Paka, Gong Gemia, Cacar Baru dan Limbong.
“Selain itu, Kuala Paka, Taman Indah Permai dan Telaga Mas juga akan turut sama dikenakan PKPD,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Rodzi memaklumkan, PKPD di Kelantan melibatkan tiga lokaliti dalam daerah Tumpat iaitu Kampung Gerong di mukim Sungai Pinang; Kampung Baru Nelayan dalam mukim Tumpat serta Kampung Talak di mukim Jal Besar.
Beliau berkata, pelaksanaan PKPD di Sabah pula melibatkan tiga lagi lokaliti dalam tiga daerah berbeza.
“PKPD di Tawau akan dikuatkuasakan di Kampung Sungai Imam manakala PKPD di Keningau dilaksanakan di Kampung Kapakaan.
“Penguatkuasaan PKPD di Kinabatangan pula melibatkan Kampung Paris 3,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

