BEKAS Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dilaporkan menghembuskan nafas terakhir awal pagi tadi di sebuah hospital di ibu negara.
Khabar duka itu dimaklumkan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Raja-Raja Hal Ehwal Islam, Datuk Dr Afifi al-Akiti setelah menerima berita daripada bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar.
“Selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Raja-Raja Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan, dengan sedih dan dukacitanya dimaklumkan pengerusi kami, Tun Sarji telah kembali ke Rahmatullah pagi tadi, pukul 1.40 pagi,” katanya.
Ahmad Sarji merupakan bekas Ketua Setiausaha Negara Ke-9 di bawah pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad dari 1 Februari 1990 hingga 16 September 1996.
Allahyarham juga merupakan Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Selain itu, Ahmad Sarji juga merupakan Pengerusi Persatuan Profesional Golf Malaysia (PGM).
Baca artikel berkaitan: 265 kematian, 20,798 kes sembuh COVID-19
7 Ogos lalu, Ahmad Sarji dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akibat komplikasi COVID-19.
Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali turut mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga atas pemergian Allahyarham.
Mohd. Zuki turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar buat negara atas jasa dan bakti yang telah dicurahkan selama ini.
“Allahyarham merupakan bekas Ketua Setiausaha Negara dari tahun 1990 hingga 1996 dan seorang tokoh pentadbir perkhidmatan awam yang amat disegani serta dihormati sewaktu dalam perkhidmatan.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihi,” jelasnya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

