PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan pemergian tokoh, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yang meninggal dunia awal pagi tadi sebagai suatu kehilangan besar buat negara.
Menurut Ismail Sabri, Ahmad Sarji merupakan negarawan pentadbir perkhidmatan awam yang amat dihormati dan disegani seluruh negara.
Kata beliau, selaku bekas Ketua Setiausaha Negara, Allahyarham cukup sinonim dengan pelbagai usaha mempertingkat imej dan kecekapan tadbir urus perkhidmatan awam.
Bukan itu sahaja, Ismail Sabri berkata, Ahmad Sarji komited menyumbang idea dan kepakaran termasuk dalam sektor pendidikan walaupun setelah bersara.
“Hari ini, Keluarga Malaysia kehilangan seorang tokoh pentadbir perkhidmatan awam yang amat dihormati dan disegani iaitu Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yang kembali ke Rahmatullah, awal pagi tadi.
“Jasa bakti Allahyarham akan terpahat dalam lipatan sejarah Malaysia sampai bila-bila,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Tun Ahmad Sarji meninggal dunia awal pagi tadi
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, Ahmad Sarji juga memainkan peranan sangat signifikan dalam memartabatkan syiar Islam dalam negara menerusi penglibatan sebagai Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Majlis Raja-Raja.
“Salam takziah buat ahli keluarga Allahyarham atas pemergian insan tersayang dan saya doakan agar tabah menghadapi detik yang mendukacitakan ini.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan diangkat darjatnya bersama para anbia. Al-Fatihah,” kata beliau.
Ahmad Sarji dilaporkan menghembuskan nafas terakhir awal pagi tadi di sebuah hospital di ibu negara.
Allahyarham merupakan bekas Ketua Setiausaha Negara Ke-9 di bawah pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad dari 1 Februari 1990 hingga 16 September 1996.
Beliau juga merupakan Pengerusi Persatuan Profesional Golf Malaysia (PGM).
7 Ogos lalu, Ahmad Sarji dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akibat komplikasi COVID-19.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

