YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yang telah menghembuskan nafas terakhir, awal pagi tadi.
Dalam kenyataan Istana Negara dimuat naik menerusi Facebook, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham.
Pada masa sama, Seri Paduka berdua turut menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu.
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong turut mendoakan agar roh Allahyarham Ahmad Sarji dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.
“Seri Paduka berdua amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara.
Baca artikel berkaitan: Keluarga Malaysia kehilangan tokoh dihormati – Ismail Sabri
Tun Ahmad Sarji meninggal dunia awal pagi tadi
“Seri Paduka berdua turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada negara. Allahyarham merupakan tokoh pentadbir perkhidmatan awam negara yang amat disegani dan dihormati,” kata kenyataan itu hari ini.
Ahmad Sarji yang dilahirkan pada 16 September 1938 di Tapah, perak merupakan Ketua Setiausaha Negara dari tahun 1990 hingga 1996 semasa era pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Ahmad Sarji dilaporkan menghembuskan nafas terakhir awal pagi tadi di sebuah hospital di ibu negara.
Beliau juga merupakan Pengerusi Persatuan Profesional Golf Malaysia (PGM).
7 Ogos lalu, Ahmad Sarji dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akibat komplikasi COVID-19.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

