PM saksikan pemberian dos vaksin ke sejuta di PPV WTCKL

Dari Penulis

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyaksikan suntikan vaksin COVID-19 AstraZeneca dos ke sejuta di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Penerima dos vaksin AstraZeneca ke sejuta itu ialah Zamratul Azmi Sarmadi, 38.

Suntikan itu dilakukan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim.

Ismail Sabri dalam sidang akhbarnya kemudian mengucapkan tahniah kepada semua pihak di atas kejayaan ini yang membolehkan PPV WTCKL memberikan dos ke sejuta hari ini.

“PPV WTCKL mula beroperasi sejak 5 Mei lalu dan di sini vaksin yang diberikan ialah AstraZeneca,” katanya.

Sementara itu, Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF) dalam satu kenyataan memaklumkan, suntikan ke satu juta itu merupakan sejarah tersendiri buat PPV WTCKL sejak mula beroperasi pada 5 Mei 2021 di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Ujar CITF, ini menjadikan PPV tersebut sebagai PPV pertama di Malaysia yang mengendalikan pemberian vaksin mencecah satu juta dos, sekaligus menyumbang kepada usaha pemulihan negara untuk mencapai perlindungan yang dikehendaki buat semua dan membawa Malaysia keluar daripada cengkaman pandemik COVID-19 demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat.

“Dibuka khas untuk pengendalian vaksin AstraZeneca, PPV WTCKL merupakan PPV Mega pertama yang diwujudkan dengan kapasiti awal sebanyak 8,000 dos sehari sebelum ditingkatkan kepada 18,000 dos suntikan pada 19 Julai 2021.

“PPV WTCKL beroperasi setiap hari termasuk cuti umum seawal jam 8.30 pagi sehingga 9 malam. Sehingga semalam sebanyak sejumlah 997,291 dos vaksin telah diberikan yang terdiri daripada 645,011 dos satu dan 352,280 dos dua,” kata CITF.

Menurut pasukan petugas itu, pencapaian penting PPV WTCKL ini merupakan hasil usaha sama jalinan yang baik antara agensi awam dan swasta di mana pengendalian operasinya melibatkan anggaran sebanyak 360 petugas kesihatan dan bukan kesihatan pada setiap hari.

Kata CITF, PPV tersebut diketuai oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dibantu oleh 13 penyelaras dan 14 petugas yang terdiri daripada penjawat awam daripada pelbagai kementerian.

Sementara itu, ProtectHealth Corporation bertindak sebagai pelaksana bagi penglibatan pengamal perubatan swasta yang dikenali sebagai Health Care Organizer (HCO).

Zamratulazmi Sarmadi,38, bangga selepas diumumkan sebagai penerima vaksin yang ke 1 juta di Pusat Pemberian Vaksin WTCKL, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Baca artikel berkaitan: Pemberian dos AstraZeneca ke sejuta di PPV Mega WTCKL hari ini

WTCKL bersedia mulakan vaksinasi AstraZeneca esok

“Tiga HCO yang terlibat sebagai petugas kesihatan di PPV WTCKL adalah BP Healthcare, Bookdoc dan U.N.I Klinik.

“Operasi di PPV WTCKL turut melibatkan sukarelawan kesihatan yang terdiri daripada agensi- agensi kerajaan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan juga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Mereka turut disokong oleh sukarelawan daripada Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVAC),” kata kenyataan itu.

Ujar CITF, petugas-petugas WTCKL juga sama membantu dalam operasi PPV WTCKL dan merupakan sebahagian daripada sukarelawan bukan kesihatan.

“Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran sepanjang tempoh pengoperasian selama 115 hari sehingga hari ini, para petugas di PPV WTCKL terus komited dan memberi kerjasama yang tinggi sepanjang bertugas agar tindakan pantas dapat diambil untuk menyelesaikan segala isu berbangkit.

“CITF merakamkan jutaan terima kasih kepada mereka semua yang terlibat dan percaya semangat tinggi yang disaksikan masa kini akan terus diperhebatkan demi memenangi perang melawan COVID-19 ini,” jelas kenyataan itu.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Harga diesel bersubsidi turun kepada RM2.10 seliter mulai Julai

BERITA baik buat orang ramai apabila Kerajaan MADANI bersetuju menurunkan harga diesel bersubsidi untuk rakyat kepada RM2.10 seliter mulai...

More Articles Like This