Guru Utama Silat Cekak Pusaka Hanafi, Md Radzi Hanafi

PERSEKUTUAN Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia (Silat Cekak Pusaka Hanafi) hari ini melakar sejarah apabila memperkenalkan konsep latihan silat secara baharu iaitu kelas silat online (dalam talian) ketika pandemik COVID-19 sedang menular.

Guru Utama Silat Cekak Pusaka Hanafi, Md Radzi Hanafi yang melancarkan kelas silat secara maya tersebut sempena Sambutan Maal Hijrah 1443H dan Hari Tenaga Pengajar yang turut pertama kalinya diadakan secara dalam talian.

Kedua-dua sambutan tersebut merupakan program tahunan yang diadakan pada bulan Muharam setiap tahun bagi menghargai jasa dan sumbangan para tenaga pengajar yang membantu mendaulatkan seni budaya bangsa, khususnya Silat Cekak Pusaka Hanafi.

Md Radzi berkata, sememangnya pandemik COVID-19 memberi cabaran besar kepada semua pihak, termasuk bidang persilatan yang mana mereka telah dua tahun tidak dapat bertemu dan mengadakan kelas latihan kerana larangan berkumpul.

SEBAHAGIAN daripada tenaga pengajar yang menghadiri Sambutan Maal Hijrah 1443H dan Hari Tenaga Pengajar Silat Cekak Pusaka Hanafi secara maya hari ini.

“Bagaimanapun, sebagai umat Islam, kita tidak boleh kecewa sehingga berputus asa dengan ujian yang diberikan oleh Allah dan sentiasa berusaha mencari jalan penyelesaiannya sehingga berjaya,” katanya dalam ucapan sempena sambutan majlis tersebut hari ini.

Katanya, beliau akan mencari kaedah pengajaran yang sesuai terutama pada bahagian pembelajaran pertingkat tinggi yang memerlukan pertemuan antara pengajar dan pelajar

“Kita akan kaji kaedah yangg sesuai, sememangnya apabila kita melakukan perkara baharu akan kelihan pelik. Tetapi kita akan mampu untuk melaksanakannya,” tambah Md Radzi sambil menegaskan COVID-19 boleh menghentikan pembelajaran silat tetapi tidak penyampaian ilmu.

BERITA BERKAITAN ‘Temasya Pendekar Maya 2021’. Gegaran silat secara dalam talian

Beliau yang merupakan salah seorang anak daripada pengasas Silat Cekak, Ustaz Hanafi Ahmad menyatakan bahawa Silat Cekak Pusaka Hanafi sentiasa bersedia untuk membuka dan meneruskan kembali kelas-kelas persilatan secara fizikal di seluruh negara apabila dibenarkan oleh Kerajaan kelak.

Dalam program ini, para tenaga pengajar telah diberikan Sijil Pertaulian baharu oleh Guru Utama sebagai tanda pengiktirafan dan pembuktian mereka yang diberi mandat menyampaikan ilmu Silat Cekak Pusaka Hanafi.

Ketika pelancaran Kelas Silat Online itu, kesemua peserta telah mengikuti asas pelajaran silat yang disampaikan oleh beliau dan merupakan satu sejarah persilatan negara apabila sesi pembelajaran persilatan tersebut diikuti oleh kesemua 1,000 pesilat.

Pewaris Mutlak Silat Cekak itu sekali lagi mengulangi pelajaran silibus yang sama yang telah dikendalikannya ketika mengetuai catatan rekod dunia “Largest Silat Lesson” di dalam “Guinness
World Records” pada tarikh 29 Ogos 2015 di Stadium Merdeka Kuala Lumpur.

Kelas Silat Online yang baru sahaja dilancarkan ini diharapkan menjadi institusi pembentukan insaniah bertaraf global serta memupuk semangat perpaduan dan nasionalisma tinggi melalui acuan budaya yang disesuaikan mengikut keperluan semasa, terutama dunia tanpa sempadan pasca-pandemik COVID-19.

Dalam program tahunan ini juga, secara tradisi seorang ahli yang telah banyak memberikan khidmat bakti kepada Silat Cekak Pusaka Hanafi akan diraikan secara istimewa dan dianugerahkan Anugerah Khas Guru Utama.

Penerima anugerah bagi tahun 1443H adalah Shahrul Nizam bin Jantan yang telah mula melibatkan diri dalam pergerakan Silat Cekak Pusaka Hanafi sejak 1978. – UtusanTV

Maklumat lanjut pelancaran boleh diperoleh di laman Youtube.