PERISTIWA ini berlaku beberapa tahun lalu. Sewaktu kakak saya, Marziah, menghadiri kursus motivasi di Genting Highlands, emak kami di kampung – Kulim, Kedah – pula jatuh sakit. Emak menghidap kencing manis serta darah tinggi, dan hari itu, keadaan emak agak serius. Dia terpaksa dikejarkan ke hospital.

Kami hubungi kakak untuk memberitahunya tentang keadaan emak. Ketika itu sudah pukul 7.00 petang.

“Malam ni akak balik,” jawab kakak di hujung talian.

Saya berpesan pada kakak supaya memandu dengan berhati-hati. Jangan gopoh atau panik, nanti lain jadinya.

Permohonan kakak untuk menyingkatkan kursus diluluskan oleh majikannya. Lagipun cuma tinggal sehari saja kursus berkenaan tamat. Dengan bantuan syarikat, kakak dihantar pulang ke rumahnya di Kuala Lumpur. Kakak sampai di Kuala Lumpur pukul 9.30 malam dan terus bersiap untuk pulang ke kampung. Kami menunggu kepulangan kakak, hinggalah terlelap.

Sekitar pukul 2.00 pagi, saya dikejutkan dengan bunyi pintu diketuk.

Tok! Tok! Tokkk!!… bertalu-talu.

Saya, yang memang malam itu cuma tidur-tidur ayam saja kerana risau kalau-kalau ada apa-apa berlaku kepada emak di hospital, terus meluru ke pintu yang terletak bersebelahan bilik saya.

Tapi bila dibuka, tiada sesiapa di luar. Cepat-cepat saya tutup semula pintu. Badan saya menggigil kerana takut yang datang tadi adalah…!!

Saya dengar pintu diketuk, tetapi bila dibuka, tiada sesiapa.

Tapi baru hendak merebahkan badan ke tilam, pintu diketuk semula. Hendak buka atau tidak? Hati saya berbelah bahagi. Kalau buka, takut ‘benda itu’ yang mengganggu. Kalau dibiarkan, bimbang pula yang mengetuk pintu itu adalah ayah yang baru pulang dari hospital, atau jiran yang hendak memaklumkan keadaan emak.

Tapi kenapa tiada bunyi kenderaan, suara memberi salam atau memanggil, tanya saya di dalam hati.

Saya capai lampu suluh dan beranikan diri menuju pintu yang masih diketuk. Dengan dada berdegap-degup, mulut masih terkumat-kami membaca ayat-ayat suci al-Quran, saya pulas tombol pintu dan membukanya. Pun tiada orang di luar.

Saya menyuluh sekeliling, di balik pokok bunga, tepi tangga dan balik dinding rumah. Tiada langsung kelibat sesiapa. Saya tutup pintu dan terus masuk ke bilik. Walaupun diketuk lagi, saya tidak berani membukanya.

Pagi esoknya, saya mendapat dua berita. Pertama, emak beransur sembuh dan kedua, kakak berada di Hospital Taiping. Kakak kemalangan pukul 1.30 pagi tadi!

Saya dan ayah berkejar ke Hospital Taiping. Menurut kakak yang baru sedarkan diri, kemalangan itu terjadi selepas dia terlelap seketika dan melanggar pembahagi jalan semasa di lebuh raya.

Sewaktu dirinya tidak sedarkan diri di hospital, kakak berasa seperti dirinya berjalan pulang ke rumah, memberi salam dan mengetuk pintu.

Tangan kiri kakak patah, kepala dan beberapa bahagian badannya luka. Beberapa orang pemandu yang melalui kawasan tersebut telah membantu kakak dengan menghubungi trak penunda, polis serta ambulans. Ketika itu kakak tidak sedarkan diri.

Semakin hari keadaan emak dan kakak semakin baik. Apabila kedua-duanya dibenarkan pulang, satu atau dua minggu kemudian, kami berborak panjang tentang pengalaman di hospital.

Salah satu perkara yang saya bangkitkan ialah kejadian aneh yang berlaku pada malam kakak kemalangan. Selesai saya bercerita, saya lihat kakak termenung. Macam ada sesuatu yang bermain di fikirannya.

“Sal, masa tu akak tak sedarkan diri. Tapi akak masih ingat… nak kata mimpi, bukan mimpi, nak kata betul-betul berlaku, pun tak boleh. Tapi memang pelik…” kata kakak memulakan ceritanya.

Menurut kakak, malam itu selepas tidak sedarkan diri akibat kemalangan, kakak rasa seperti dirinya berjalan balik ke rumah. Sedar-sedar saja dia sudah berada di halaman rumah kami di kampung ini. Kakak memberi salam dan mengetuk pintu.

Dia melihat saya membuka pintu dan kakak terus bertanya, “Macam mana keadaan emak?” Tetapi saya tidak menjawab. Saya hanya menoleh ke kiri, kanan dan sekeliling, kemudian menutup pintu.

“Akak hairan, Sal tak nampak ke akak di depan mata. Akak ketuk pintu lagi. Lama, baru Sal buka. Akak tanya lagi, ‘macam mana keadaan mak?’ Pun Sal tak jawab. Sal suluh sana, suluh sini, kemudian tutup pintu

“Akak pelik, Sal tak nampak akak ke? Akak ketuk lagi, tapi sampai lenguh tangan, Sal tak buka. Bila dah macam tu, akak terus balik. Balik ke mana, akak pun tak tau. Sedar-sedar, akak di hospital.”

Saya terdiam. Begitu juga dengan emak, kakak dan adik-beradik lain yang ada bersama kami ketika itu. Jadi siapa, atau lebih tepatnya, apa yang mengetuk pintu rumah kami malam itu?     

Oleh: Sal, Pembaca Mastika.  

——————–

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam