MENTERI Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz semalam berkata beliau akan mencadangkan untuk menaikkan had statutori hutang kepada 65 peratus daripada 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada masa ini.
Beliau berkata, walaupun nisbah hutang statutori kepada KDNK pada masa ini sebanyak 58 peratus, berdasarkan komitmen yang dibuat oleh kerajaan untuk menyokong rakyat dan perniagaan, nisbah hutang kepada KDNK mungkin akan meningkat kepada melebihi 60 peratus pada akhir tahun.
Mengulas mengenai cadangan tersebut, Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan hari ini mengeluarkan kenyataan akhbar di Facebook miliknya. Berikut ialah kenyataan penuh beliau:-
Peningkatan had statutori hutang kerajaan
DALAM senario hari ini, peningkatan had statutori hutang kerajaan melebihi 60 peratus nilai KDNK ialah wajar. Tetapi lebih utama ialah apa yang akan dibelanjakan. Bukan hanya bantuan tunai, tetapi perbelanjaan yang mampu merancakkan dan memulih ekonomi.
Sebenarnya, itulah sebabnya ahli ekonomi memantau nisbah hutang kerajaan kepada KDNK.
Bukan sebab hutang kerajaan itu perlu dibayar semula (saya dah terangkan beberapa kali sebelum ini konsep ‘hutang’ kerajaan tidak sama seperti hutang lain).
Kita pantau dan kaji nisbah “debt to GDP” ini kerana andai kata perbelanjaan kerajaan mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi, maka KDNK (GDP) itu akan naik lebih laju.
Namun, andai kata perbelanjaan kerajaan tertumpu atau tertiris kepada perkara yang tidak merancakkan pertumbuhan KDNK, sebaliknya akan berlaku. Dalam erti kata lain, peratusan itu menjadi kayu ukur kepada “produktiviti” perbelanjaan sesebuah kerajaan.
Jadi, bukan angka hutang yang perlu kita khuatir. Sebaliknya, adakah hutang itu mampu menjana pertumbuhan tinggi atau tidak? Dan adakah rakyat kebanyakan menikmati keuntungan dari pertumbuhan ini?
Dalam era COVID-19 sejak 2020, nisbah peratus ini meningkat di seluruh dunia. Kerana rata-ratanya, perbelanjaan kerajaan hanya mampu meminimakan impak COVID kepada ekonomi dan rakyat masing-masing. Bantuan tunai, subsidi gaji, geran dan sebagainya.
Dunia belum mampu kembali kepada angka pertumbuhan pra-COVID, apatah lagi dengan sekatan pergerakan yang merencatkan perniagaan dan perdagangan.
Namun ini tidak boleh berkekalan. Kini menghampiri penghujung 2021, Malaysia perlu mula membiasakan diri hidup bersama virus yang diklasifikasi sebagai “endemik”.
Ke arah itu, diharapkan perbelanjaan Kerajaan setelah peningkatan had statutori ini perlu lebih berani, luar kotak, dan menjurus kepada usaha jangka panjang dan bukan “plaster” semata-mata lagi.
BERITA BERKAITAN Kerajaan Persekutuan boleh pertimbang ambil alih HSKLU – Shahril Hamdan
Belanja yang mampu menjana pekerjaan. Belanja yang mampu menjana pelaburan. Belanja yang mampu membantu pembukaan sektor-sektor ekonomi dengan selamat seperti:-
- Subsidi dan pelepasan cukai bagi perniagaan membeli test-kit untuk menjalankan ujian COVID-19 ke atas pekerja-pekerja secara kerap dan berkala
- Peningkatan kapasiti perkhidmatan kesihatan awam melalui pembesaran hospital dan penambahan katil hospital-hospital Kerajaan dan penyerapan kakitangan kesihatan kontrak ke dalam skim tetap
- Insentif pelaburan ekonomi hijau seperti penggalakan penggunaan “renewable energy”, ke arah perlindungan iklim dan alam semulajadi
- Pengenalan skim jaminan pekerjaan atau “Job Bank” untuk membantu sekurang-kurangnya 300 ribu yang hilang pekerjaan sepanjang krisis pandemik Covid-19 dan 400 ribu graduan universiti setiap tahun
- Skim Matching Topup Jaringan Keselamatan Sosial untuk pekerja yang telah mengeluarkan wang KWSP mereka melalui skim i-Sinar, i-Lestari, i-Citra untuk menjamin simpanan yang mencukupi pada usia persaraaan.
Dan pelbagai lagi jenis perbelanjaan untuk memastikan bukan sahaja kita selesaikan isu bantuan tunai dan kampit beras untuk rakyat, tetapi juga ke arah memulihkan daya saing ekonomi sekali gus membina ketahanan negara untuk menghadapi sebarang krisis di masa hadapan – tidak kira sama ada krisis pandemik, krisis ekonomi mahupun krisis iklim.
Maka apabila Parlimen bersidang kelak, saya harap tiada yang terlalu obses tentang nisbah hutang kerajaan dan KDNK. Setelah memahami apa sebenar maksud nisbah atau peratus ini, saya harap Ahli Parlimen lebih fokus berbahas dan memberi cadangan serta kritikan membina mengenai jumlah dan jenis perbelanjaan apa yang wajar.
Shahril Sufian Hamdan
Ketua Penerangan UMNO

