MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin mendedahkan pembinaan sebuah hospital baharu di Papar, Sabah agak terlewat dari jadual asal, manakala sebuah dewan bedah yang baru siap dibina di hospital lama daerah itu tidak boleh digunakan kerana tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

Dalam hantaran di Facebooknya malam tadi, beliau menyatakan telah mengadakan lawatan ke Hospital Papar yang terletak kira-kira sejam perjalanana dari Kota Kinabalu bagi memantau kemajuan pembinaan Hospital Papar yang baharu.

“Saya difahamkan projek ini sepatutnya siap pada tahun lepas. Bagaimanapun sehingga hari ini, kemajuan pembinaan projek ini baru mencapai 22 peratus sahaja,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, beliau akan mengadakan pertemuan bersama Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof untuk berbincang dan memutuskan langkah yang sewajarnya diambil.

“Antara pilihan yang ada termasuklah untuk menamatkan kontrak bagi kontraktor sedia ada. Tetapi kita akan lakukan penilaian terlebih dahulu, apakah sebab berlakunya kelewatan ini dan Kementerian Kesihatan akan membuat keputusan segera berhubung tindakan yang sepatutnya diambil ke atas kontraktor berkenaan,” tambahnya.

Khairy berkata, sememangnya Papar memerlukan sebuah fasiliti hospital dengan kapasiti yang lebih besar dengan hospital sedia ada adalah terlalu kecil untuk menampung kes-kes dari pesakit yang datang mendapatkan rawatan.

“Sebab itulah pembinaan hospital yang baharu ini perlu disegerakan.

Saya juga sempat meninjau dewan bedah yang baru siap dibina di Hospital Papar yang lama ini,” katanya.

BERITA BERKAITAN ‘Assalamualaikum’, kata Khairy kepada petugas kesihatan larang rakam video

Bagaimanapun, katanya, dewan bedah tersebut tidak dapat digunakan kerana pembinaannya tidak mengikut spesifikasi yang betul untuk sebuah dewan bedah.

“Jadi saya telah minta Ketua Setiausaha (Datuk Mohd. Shafiq Abdullah) untuk membuat penilaian sama ada dewan bedah tersebut boleh diselamatkan ataupun tidak,” katanya.

Khairy berkata, beliau telah mengarahkan supaya laporan dibentangkan kepadanya mengenai perkembangan projek-projek tersebut dalam waktu terdekat.


Esok, saya akan teruskan lawatan kerja untuk hari kedua dengan mengikuti aktiviti Program Outreach Pemberian Vaksin Kepada Penduduk Pulau Larapan di Semporna.

“Setelah itu, saya akan mengadakan lawatan kerja ke Hospital Tawau dan juga meninjau tapak hospital medan di lapangan terbang lama di Tawau,” katanya. – UtusanTV