ANALISIS BERITA
BERITA seorang lelaki memecah pintu cermin masjid yang ditutup selepas solat Isya sehingga menyebabkan dia maut kerana mengalami kecederaan adalah sesuatu yang sangat menyedihkan.
Sebelum ini, viral juga video seorang penghantar barang menendang pintu pagar masjid kerana tidak dapat menunaikan solat Jumaat sehingga menyebabkan dia ditahan polis selepas kejadian.
Kejadian-kejadian tersebut menunjukkan umat Islam di negara ini telah tidak sabar-sabar lagi untuk menunggu pembukaan surau atau masjid kerana sejak sekian lama hanya beberapa jemaah sahaja dibenarkan menunaikan solat berjemaah.
Pengumuman kerajaan semalam untuk melonggarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan membenarkan peserta industri kreatif beroperasi termasuk membuka panggung wayang sememangnya suatu berita yang dialu-alukan.
Menurut kenyataan Majlis Keselamatan Negara (MKN), aktiviti panggung wayang kepada individu yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti 50 peratus dibenarkan di ruang dewan tayangan pawagam.
Disebabkan pembukaan panggung wayang itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meminta supaya dibenarkan juga pembukaan gimnasium dan pusat sukan kerana telah ramai pengusaha perniagaan telah atau hampir ‘tidak boleh bernafas.’
Rayuan Ahmad Faizal itu menerima isyarat positif daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) apabila Menterinya, Khairy Jamaluddin ‘menyambut’ permohonan Ahmad Faizal dengan mengakui sukan berpasukan di tempat terbuka adalah wajar.
Jika panggung, pusat-pusat seni dan pusat sukan telah boleh dibuka, kerajaan terutama pihak berkuasa agama negeri-negeri seharusnya dengan segera mempertimbangkan pembukaan masjid dan surau dengan SOP ketat seperti mana syarat pembukaan pusat-pusat seni.
Ketika ini sesebuah masjid di Selangor hanya membenarkan 50 jemaah sahaja menunaikan solat fardu dan 100 jemaah untuk solat Jumaat dan jumlah itu adalah termasuk dari kalangan ahli jawatan kuasa (AJK) masjid.
“Bayangkan jika masjid di kawasan saya yang boleh memuatkan ribuan jemaah, hanya boleh dihadiri kira-kira 70 orang (kerana selebihnya merupakan kuota AJK masjid),” kata seorang jemaah yang kini terpaksa ‘meninggalkan solat berjemaah’ walaupun dia merupakan pengunjung tetap masjid sebelum ini.
Seperti yang diketahui, negara sedang menuju ke arah ‘hidup bersama COVID’ kerana kadar vaksinasi penduduk telah meningkat dengan tinggi dan ada yang telah melebihi komuniti kelompok seperti di Lembah Klang.
Sepatutnya, apabila kerajaan mengumumkan Malaysia yang kini menuju ke arah endemik selepas rakyat mencapai imuniti kelompok, kelonggaran SOP seperti kebenaran solat seharusnya dilaksanakan di kawasan-kawasan yang telah mencapai imuniti kelompoj seperti Lembah Klang.
Kebenaran seharusnya diberikan seperti sebelum ini iaitu mengikut SOP panggung wayang iaitu membenarkan dengan kapasiti 50 peratus masjid atau surau dengan syarat jemaah telah lengkap vaksinasi. – UtusanTV

