POLIS Johor berjaya melumpuhkan satu sindiket penipuan pembelian pakej telefon bimbit yang menyebabkan kerugian RM8.6 juta selepas tertangkapnya 14 suspek dipercayai ahli sindiket tersebut.
Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor telah melancarkan operasi dan serbuan di sekitar Johor untuk mencari pemilik akaun keldai dan ahli sindiket penipuan tersebut, 1 September lalu.
Dalam serbuan yang dilakukan mulai pukul 12.30 tengah hari hingga 11.30 malam, kebanyakannya di Iskandar Puteri, Ayob Khan berkata, seramai 14 suspek telah berjaya ditahan polis.
Kata beliau, suspek yang ditahan melibatkan 10 lelaki dan empat wanita warga tempatan berusia antara 19 hingga 38 tahun.
Beliau berkata, sindiket yang telah beroperasi sejak Januari lalu telah membeli akaun keldai bagi tujuan membuat pendaftaran pembelian pakej telefon bimbit yang ditawarkan syarikat telekomunikasi.
Pada masa sama, katanya, sindiket itu juga membuat dokumen palsu seperti penyata gaji dan surat pengesahan majikan untuk mengaburi pihak syarikat telekomunikasi yang disasarkan.
Baca artikel berkaitan: Penjawat awam antara 17 diberkas salah guna, polis rampas setengah tan daun ketum – Ayob Khan
“Modus operandi sindiket ini adalah menggunakan nama pemilik akaun keldai bagi mendaftar secara tukar talian daripada satu syarikat telekomunikasi ke syarikat lain yang menawarkan pakej talian beserta telefom bimbit.

“Setelah pendaftaran dan identiti pemilik akaun keldai disahkan pihak syarikat telekomunikasi, sindiket membuat pembayaran menggunakan kad kredit milik individu lain dengan telefon dan pakej yang didaftarkan itu diserahkan kepada ahli sindiket.
“Kita juga percaya telefon yang telah mereka dapat itu akan dijual di luar negara.
“Pihak syarikat telekomunikasi mula menyedari bahawa mereka menjadi mangsa penipuan setelah usaha pembayaran melalui kad kredit yang didaftarkan sewaktu pembelian pakej telah ditolak bank.
“Hasil siasatan semakan dengan syarikat telekomunikasi terbabit mengesahkan mereka mengalami kerugian sebanyak RM8.6 juta,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, polis juga masih meneruskan siasatan bagi mengesan saki baki ahli sindiket dan rangkaiannya.
Beliau turut meminta kerjasama orang awam bagi pihak polis mengesan tiga individu yang dipercayai menjadi dalang sindiket berkenaan.
“Kita juga telah merampas 24 telefon bimbit pelbagai jenis, 24 keping kad bank, laptop dan Ipad yang digunakan ahli sindiket dengan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Polis Johor turut menasihati masyarakat supaya tidak mendedahkan maklumat peribadi kepada individu tidak dikenali,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

