BILANGAN penganggur seluruh negara meningkat sedikit kepada 778,200 individu dengan kadar pengangguran pada bulan Julai kekal pada tahap 4.8 peratus.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, bilangan guna tenaga juga terus menurun namun pada kadar yang perlahan manakala pengangguran merekodkan sedikit peningkatan.
Kata beliau, bilangan penganggur meningkat sedikit sebanyak 1.2 peratus kepada 778,200 berbanding 768,700 pada bulan Jun.
Beliau berkata, penurunan bulan ke bulan yang lebih kecil iaitu sebanyak 0.02 peratus dalam bilangan penduduk bekerja dicatatkan pada Julai 2021 kepada 15.29 juta orang dengan nisbah guna tenaga kepada penduduk kekal pada 65 peratus.
Mohd. Uzir memaklumkan, kadar pengangguran pada bulan tersebut kekal pada 4.8 peratus berbanding bulan sebelumnya manakala perbandingan tahun ke tahun menunjukkan penurunan sebanyak 0.1 mata peratus.
“Pada awal Julai, seluruh negara beralih ke Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mengambil kira faktor peningkatan berterusan jumlah kes baharu COVID-19 dan kadar vaksinasi yang semakin tinggi.
Baca artikel berkaitan: Kadar pengangguran pada April 2021 catat penurunan
“Kemudiannya, secara berperingkat sebanyak lapan negeri telah beralih ke Fasa 2 PPN dengan pelonggaran sekatan yang membenarkan lebih banyak aktiviti ekonomi beroperasi dengan pematuhan keapda prosedur operasi standard (SOP).
“Hal ini telah membawa kepada beberapa kesan positif terhadap ekonomi dan seterusnya kepada kedudukan tenaga buruh di negeri-negeri tersebut.
“Walau bagaimanapun, lapan buah negeri dengan liputan sekitar 52 peratus tenaga buruh di Malaysia masih kekal berada dalam Fasa 1 PPN. Bagi Selangor dan Kuala Lumpur pula, sebahagian besar daerah dan lokaliti di kedua-dua negeri ini berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 3 hingga 16 Julai yang menyebabkan aktiviti ekonomi dan perkhidmatan tidak penting telah dihentikan seketika,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Uzir berkata, penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan meningkat pada bulan Julai sebanyak 1.3 peratus kepada 651,300 berbanding 642,900 bulan sebelumnya.
“Golongan ini merangkumi 83.7 peratus daripada jumlah penganggur.
“Kumpulan penganggur kurang dari tiga bulan meliputi 53.9 peratus daripada keseluruhan penganggur aktif manakala 8.8 peratus lagi adalah terdiri daripada mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun.
“Bagi penganggur tidak aktif yang percaya tiada pekerjaan yang tersedia, bilangannya meningkat sebanyak 0.8 peratus kepada 126,900 orang,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

