SEKITAR penghujung tahun 1960-an sehingga awal 1970-an, daerah California di Amerika Syarikat gempar dengan kisah pembunuhan bersiri. Siri pembunuhan ini bukan saja membingungkan pihak polis, malah sehingga sekarang pembunuhnya gagal dikesan.

Mangsa dianggarkan seramai 37 orang dan daripada jumlah itu, hanya tujuh orang yang berjaya dikenal pasti.

Pembunuh ini turut mencabar dan mempermainkan pihak polis dengan menghantar surat yang mengandungi kod-kod berupa petunjuk untuk diselesaikan dan meletakkan namanya sebagai ‘Zodiac’ dalam surat-surat tersebut.

Pembunuhan pertama berlaku pada 20 Disember 1968. Mangsanya ialah Betty Lou Jensen,16, dan David Arthur Faraday,17, yang merupakan pelajar sekolah menengah.

David dan Betty, pasangan remaja yang dibunuh Zodiac.

Pada awalnya, pasangan remaja yang pertama kali keluar sebagai pasangan kekasih ini mahu merayakan konsert Krismas di Hogan High School. Tetapi mereka menukar rancangan tidak jadi ke konsert itu, sebaliknya menziarahi seorang rakan mereka.

Lebih kurang pukul 10.15 malam, David memarkir kereta di satu tempat agak sunyi di Jalan Lake Herman. Namun, selepas itu hanya mayat mereka yang ditemui. Ada saksi mendakwa, mereka nampak dengan jelas pasangan kekasih ini berada di tempat duduk hadapan kereta mereka antara pukul 10:15 dan 11:00 malam.

Mengikut tafsiran penyiasat, pasangan ini telah dibunuh sekitar pukul 11:15 malam. Ini berdasarkan kepada percakapan saksi yang melihat mereka pada pukul 11:00 malam.

Kedua-­dua mangsa mati di luar kereta. Mayat Betty Lou ditemui beberapa kaki daripada kereta dengan lima das tembakan di bahagian belakang badan. David pula ditemui bersebelahan kereta, ditembak dari jarak dekat di kepala. Ketika ditemui dia masih bernyawa. Bagaimanapun, David mati ketika dalam perjalanan ke hospital.

Sepanjang penyiasatan kes ini, detektif menemui banyak petunjuk yang ditinggalkan pembunuh dalam radius dua kilometer dari lokasi kejadian.

Seorang saksi memberitahu, dia bersama teman wanitanya ternampak sebuah kereta Chevy putih masuk ke tempat kereta David dan Betty diparkir, kira­-kira 45 minit selepas mereka meninggalkan tempat parkir kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, dua orang pemburu juga mendakwa telah melihat sebuah kereta Chevy putih di kawasan jalan Lake Herman. Mereka mendekati kereta berkenaan tetapi pemandunya telah hilang.

Pembunuhan Kedua 4 Julai 1969

Pada malam 4 Julai 1969, pasangan remaja Darlene Elizabeth Ferrin,22, dan Michael Renault Mageau, 19, memarkir kereta di kawasan Blue Rock Springs Golf Course di Benicia. Padang golf berkenaan terletak empat batu dari kawasan pembunuhan David dan Betty.

Darlene dan Michael.

Tiba-­tiba sebuah kereta berhenti di belakang kereta yang dipandu Michael. Seorang lelaki keluar daripada kereta itu. Sangka Michael, lelaki itu mungkin seorang polis yang datang untuk memeriksa kawasan berkenaan.

Lelaki itu mengeluarkan lampu suluh dan menyuluh tepat ke wajah kedua­-dua remaja ini. Tanpa berkata apa-­apa, dia terus melepaskan tembakan. Selepas melepaskan sembilan das tembakan, lelaki itu beredar meninggalkan pasangan remaja itu.

Namun, baru beberapa langkah bergerak, pembunuh itu terdengar suara Michael mengerang meminta tolong. Dia kembali semula dan melepaskan empat das lagi tembakan sebelum beredar.

Tidak lama kemudian, pasangan remaja malang ini ditemui oleh tiga orang remaja yang kebetulan mendengar jeritan meminta tolong. Pemeriksaan tempat kejadian mendapati, Darlene mati di tempat kejadian. Michael terselamat daripada tragedi ini.

Keadaan itu membolehkan pihak polis mendapatkan gambaran pembunuh tersebut. Menurut Michael, lelaki itu berkulit putih dan berketinggian lima kaki lapan inci dengan berat sekitar 195 paun.

Gambaran wajah pembunuh Zodiac.

Tidak lama kemudian, seseorang yang tidak dikenali menghubungi Balai Polis Vallejo. Menurut pemanggil itu, dia mengaku bertanggungjawab ke atas pembunuhan Jensen dan Faraday. Panggilan itu dibuat di sebuah telefon awam berdekatan balai polis berkenaan. Lokasi telefon itu juga berhampiran dengan rumah Darlene.

Surat Misteri & Pembunuhan Ketiga

Pada 1 Ogos 1969, sepucuk surat daripada seseorang yang menggelar dirinya sebagai Zodiac telah diterima oleh tiga akhbar. Akhbar berkenaan adalah The Sun Francisco Examiner, San Francisco Chronicle dan Vallejo Times­Herald.

Kandungan surat menjelaskan tentang pengakuan seseorang yang telah membunuh empat orang remaja. Penulis surat itu memohon kepada pihak penerbit akhbar berkenaan supaya menyiarkan pengakuan itu.

Berita panas itu menjadi tajuk utama ketiga-­tiga akhbar berkenaan sebelum surat itu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk disiasat. Setelah diamati, kandungan surat itu menjelaskan pembunuh itu seorang yang sukakan aktiviti memburu.

Antara surat yang dihantar pembunuh.

Penulis surat itu mengaku, dia suka membunuh manusia kerana manusia lebih berbahaya berbanding haiwan liar di hutan. Tujuan aktiviti memburu manusia ini adalah untuk dijadikan hamba ketika dia mati kelak.

Ujian kaligrafi yang dilakukan menunjukkan, penulis surat ini mempunyai masalah untuk mengeja dan membaca. Ada perkataan yang ditulis, dieja dengan salah dan tidak betul tatabahasanya. Ada surat ditulis dalam huruf besar tanpa noktah.

Pada 22 September 1969, berlaku pembuhan ketiga. Mangsanya kali ini ialah Cecelia Ann Shepard,22, dan Bryan Calvin Hartnell,20, pelajar kolej yang pergi berkelah di tasik Berryessa berdekatan Napa, California.

Seorang lelaki yang memakai baju berhud tiba-tiba muncul mendekati pasangan kekasih ini dan memberitahu dia telah melarikan diri dari penjara kerana membunuh seorang pengawal keselamatan dan mencuri kereta.

Lelaki itu kemudian meminta wang dan kereta pasangan remaja ini untuk melarikan diri ke Mexico. Kerana takut, remaja ini memberikan wang yang mereka ada berserta kunci kereta. Lelaki itu kemudian mengarahkan dua remaja ini mengikatkan tangan dan mulut mereka dengan kain yang diberikannya.

Lelaki aneh itu kemudian mengeluarkan pisau lalu menikam Bryan enam kali dan Cecelia 10 kali. Selepas itu, dia pergi ke kereta remaja itu dan melakarkan satu lambang aneh di kedua belah pintu kereta. Menurut koroner, lambang yang dibuat lelaki itu persis lambang sihir ilmu hitam.

Kedua­-dua mangsa kemudiannya dijumpai seorang nelayan yang lalu di kawasan itu. Semasa ditemui, mereka masih lagi hidup. Memandangkan kawasan itu agak terpencil, bantuan kecemasan tiba agak lambat.

Bagaimanapun, Cecelia yang koma mati dua hari kemudian. Manakala Bryan selamat walaupun cedera parah. Dia kemudiannya menceritakan apa yang berlaku lengkap dengan deskripsi pembunuh berkenaan.

Tidak lama kemudian, seorang pemanggil misteri telah menghubungi Balai Polis Napa County dan mengakui telah membunuh sepasang remaja yang menaiki sebuah kereta berwarna putih. Lelaki itu mengakui, hanya dia seorang saja yang melakukan pembunuhan itu.

Setelah disiasat, panggilan itu dibuat beberapa blok daripada balai polis berkenaan menggunakan telefon awam. Keadaan itu sama seperti kejadian yang berlaku di Vallejo. Polis mengklasifikasikan pemanggil itu sebagai orang yang sama dengan kejadian di Vallejo.

Pada 14 Oktober 1969, akhbar San Francisco Chronicle menerima lagi sepucuk surat daripada Zodiac. Kali ini pembunuh misteri itu melampirkan bersama sehelai baju yang masih berdarah.

Mencabar pihak polis

Ramai suspek telah ditangkap dalam misi menjejak pembunuh dengan gelaran Zodiac ini, namun akhirnya tiada siapa yang berjaya dikaitkan sebagai pembunuhnya.

Pembunuh Zodiac ini agak berbeza daripada pembunuh bersiri lain yang kebiasaannya mempunyai gaya pembunuhan yang serupa dengan hanya satu jenis senjata sebagai trademark. Namun untuk Zodiac, dia gemar menggunakan pisau dan pistol. Mangsanya sama ada ditembak atau ditikam berkali-kali.

Surat-surat yang dihantarnya juga bukan sekadar pengakuan pembunuhan yang dilakukannya, tetapi juga bermain teka teki supaya pihak polis menghuraikan kod-kod yang ditulisnya. Daripada surat-surat yang dihantarnya, empat daripada surat tersebut mengandungi kod, tetapi hanya satu surat yang kodnya berjaya diselesaikan pihak polis.

Dalam surat terakhir yang dihantarnya, Zodiac memberitahu dia telah membunuh 37 mangsa dan pihak polis gagal menyelamatkan mereka.  Bahkan, Zodiac mengejek dan memperlecehkan pihak polis kerana gagal menangkapnya.

Siri pembunuhan ini berlaku dari Disember 1968 sehingga Oktober 1969. Selepas itu, tiada lagi surat dihantar. Ada teori mengatakan Zodiac sudah berhenti membunuh. Tak kurang yang berkata mungkin Zodiac sudah tua, terlibat kemalangan atau sudah mati.

Pun begitu, sehingga ke hari ini pembunuhnya gagal dikesan dan dibawa ke muka pengadilan. Siapa sebenarnya lelaki di sebalik identiti Zodiac ini masih jadi misteri dan tiada siapa berjaya merungkaikannya.

_________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam