ADA seorang pemuda, berwajah tampan dan susuk tubuh yang kekar. Pemuda itu berasa dirinya amat sempurna, tiada kekurangan. Oleh itu, dia berasakan Tuhan pasti telah menciptakan seorang gadis cantik dan sempurna sepertinya untuk dijadikan pasangan hidup.

Pergilah pemuda itu ke serata tempat untuk mencari calon isteri sehingga tiba di sebuah desa. Di situ dia bertemu seorang petani yang mempunyai tiga orang anak gadis yang cantik rupawan.

“Saya ingin mengahwini salah seorang daripada anak anda. Tapi, saya tidak tahu harus memilih yang mana satu,” kata pemuda itu.

Maka petani tersebut memberi idea agar pemuda itu membawa setiap anak gadisnya keluar untuk janji temu agar lebih saling mengenali.

Hari pertama, pemuda itu keluar dengan gadis yang merupakan anak sulung petani itu.

Apabila pulang ke rumah, pemuda itu berkata, “Anak pertama anda ada kecacatan kecil. Ibu jari kakinya lebih satu berbanding orang normal.” Kerana itu, pemuda tadi tidak jadi memilih gadis pertama.

Hari kedua, dia membawa anak gadis petani yang kedua untuk keluar bersama. Pulang ke rumah, pemuda itu memberitahu, “Anak gadis kedua anda walaupun cantik tapi kurang sempurna. Matanya sedikit juling,” beritahu pemuda itu dan menolak gadis itu untuk dijadikan calon isteri.

Hari ketiga, dia membawa anak gadis bongsu pula keluar. Pulang ke rumah, dengan gembira pemuda itu memberitahu si petani, “Inilah gadis yang saya cari. Cantik dan sempurna segala-galanya. Saya akan menyuntingnya untuk dijadikan isteri.”

Maka berkahwinlah pemuda itu dengan anak bongsu si petani. Tidak lama kemudian, isterinya melahirkan anak pertama. Namun, kegembiraan pemuda itu terhenti apabila melihat rupa bayinya hodoh dan tidak sempurna seperti dirinya.

“Kenapa boleh jadi begini? Saya tampan, punya isteri cantik dan sempurna. Tapi mengapa anak saya buruk begini?” keluh pemuda itu kepada si petani.

Petani itu menjawab, “Sebenarnya isterimu punya satu kecacatan kecil yang tidak mampu kau lihat secara zahir. Ketika kau melihatnya dulu, dia sudah hamil tetapi mata kasarmu tidak mampu melihat kecacatan itu…”

**Kadangkala kita terlalu mencari kesempurnaan tetapi akhirnya yang kita dapat hanyalah kekecewaan. Tuhan telah menjadikan setiap makhlukNya ada kelebihan dan kekurangan. Maka, ketahuilah tiada yang sempurna di muka bumi ini.

___________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam