Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said

“TAKKAN bila dia gabung (dengan parti) selepas menang, kerusi itu terus gugur talak, kena diberikan ‘edah’ kepada pengundi.”

Demikian kata Ahli Parlimen Pengarang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang mencadangkan supaya wujudkan satu mekanisme menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti agar ia tidak disalah guna.

Kata beliau, hakikatnya rakyat perlu diberi kuasa untuk menentukan sama ada wakil rakyat kawasan mereka yang melompat parti perlu diganti atau dikekalkan menerusi referendum dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau berkata, Akta Anti Lompat Parti wajar diwujudkan atas konsep demokrasi namun perlu diteliti supaya tiada wakil rakyat yang boleh sesuka hati ‘melompat’ pada bila-bila masa.

“Mekanisme mesti ada kerana tidak semestinya yang pergi itu atas alasan hanya kerana lompat (parti), kemungkinan dipecat atau berlaku disebabkan kerajaan gabungan.

“Apa yang kita hendak wujudkan ialah satu sistem di mana dia (wakil rakyat) tidak boleh hanya lompat sesuka hati bila-bila masa. Perlu ada mekanisme, dan mekanisme paling penting serta wajar ialah rakyat menjadi penentu kepada pengganti.

Baca artikel berkaitan: Penggubalan RUU Anti Gangguan Seksual tetap jadi keutamaan KPWKM – Rina

“Saya percaya tidak semua yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti akan mewakili parti politik, kemungkinan ada sebagai calon Bebas.

“Jadi, takkan jika dia bergabung (dengan parti) selepas menang, kerusi itu terus ‘digugurkan talak’, kenalah diberikan ‘edah’ kepada pengundi, yang mana kemungkinan dia masuk kepada pihak disokong pengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul junjung kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada masa sama, Azalina berkata, kewujudan akta berkenaan wajib dan wajar dilakukan secepat mungkin kerana berpandangan ‘katak’ melompat tidak ikut masa.

Azalina berkata, beliau sendiri telah memasukkan RUU peribadi yang dipanggil Pemecatan Ahli Parlimen 2021 dan berharap dapat dibawa serta dibahaskan.

Azalina turut menyertakan serangkap pantun mengenai katak melompat sekali gus menggamatkan Dewan Rakyat.

“Itu sebabnya saya nak bagi pantun kepada katak yang lompat. ‘Lompat si katak lompat, lompat di dalam perigi, lompat jangan tak lompat, nanti tak sempat menjadi’.

“Saya minta tolong kepada Perdana Menteri dan Menteri Undang-Undang (Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar) untuk memberi laluan khas kepada RUU yang saya cadangkan untuk didebat dan diambil alih kerajaan.

“Ia sebagai asas kepada Akta Anti Lompat Parti dan Pemecatan Ahli Parlimen 2021 digabungkan untuk mewujudkan Parlimen lebih berwibawa,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram