KAPAL misi pesisir (LMS) ketiga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang diterima Selasa lalu dinamakan sebagai BADIK bersempena nama sebuah kapal ronda Kelas KRIS yang telah dilucut tauliah pada tahun 2005.
Markas Tentera Laut dalam kenyataan memaklumkan, upacara penamaan LMS ketiga TLDM itu telah dilaksanakan dengan jayanya di Limbungan Wuchuan, Pelabuhan Wuchang, Qidong, China.
Katanya, upacara tersebut telah disempurnakan isteri Penasihat Pertahanan di Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di China, Rohana Osman sejajar dengan tradisi TLDM di mana kapal-kapal perang yang baharu akan diberi nama oleh isteri orang kenamaan.
“Penggunaan nama BADIK ini yang merupakan senjata tradisional Melayu turut melambangkan simbol semangat kepahlawanan, perjuangan, keberanian dan kekuatan dalam menentang serta menangkis serangan musuh.
“BADIK juga akan menyertai Skuadron LMS Ke-11 yang berpangkalan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.
“Skuadron tersebut kini mempunyai dua buah kapal LMS iaitu KD KERIS dan KD SUNDANG yang telah beroperasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: [VIDEO] Kesiapsiagaan armada TLDM sentiasa tahap tertinggi – Ismail Sabri
LMS adalah satu daripada lima kelas kapal dalam Program Transformasi Armada ’15to5′ TLDM dan kontrak perolehan empat LMS dimeterai antara Kementerian Pertahanan dengan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd pada 23 Mac 2017 dengan kerjasama China Shipbuilding & Offshore International Co Ltd.
Ia adalah projek perolehan aset pertahanan kapital yang pertama dari China dan LMS keempat dijadual diserahkan pada Disember ini.
BADIK mula dibina pada 18 September 2019 dan telah dilancarkan ke permukaan air pada 28 Oktober 2020 oleh Pasukan Projek LMS TLDM di Wuhan, China.
Setelah menjalani ujian penerimaan di pelabuhan dan laut, kapal ini diserahkan secara rasmi kepada kerajaan pada 14 September 2021 di Qidong, China.
Seramai tujuh pegawai dan 38 anggota lain-lain pangkat (LLP) sebagai kru pertama telah menjalani latihan intensif selama lima bulan di China.
BADIK dirancang tiba di Malaysia pada penghujung September 2021.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

