DAKWAAN kecurian wang barang kes AS$6 juta hanya didedahkan oleh sebuah laman blog menggunakan nama ‘Edisi Siasat’, bukannya daripada mangsa atau pemilik wang berkenaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, setakat ini individu berkenaan iaitu bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid tidak membuat laporan polis.
Sehubungan itu, katanya, pihak polis kini sedang berusaha mengesan pengendali dan pemilik laman blog tersebut.
“Pada masa ini pihak kami sedang mengesan pengendali laman blog Edisi Siasat ini untuk mendapatkan maklumat serta menjalankan siasatan lanjut dan tindakan menyebar dan menularkan maklumat tidak benar adalah salah dan boleh disiasat.
“Sekiranya siasatan kes berkenaan membabitkan agensi atau jabatan kerajaan lain maka saya sarankan pihak media merujuk kepada jabatan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media kejayaan menumpaskan sindiket curi dan ubah suai lori di Rawang hari ini.
Justeru kata Abd Jalil, pada masa ini tidak dapat disahkan sama ada benarkah wujud kes curi dalam kejadian ini disebabkan mangsa sendiri tidak membuat laporan polis.
Baca artikel berkaitan: Polis tidak terima laporan dakwaan pegawai SPRM curi barang kes AS$6 juta
Tiga pegawai SPRM ditahan salah guna kuasa, penyelewengan
Semalam, Abd Jalil dalam kenyatannya memaklumkan tiada laporan polis diterima berhubung dakwaan sebuah blog mengenai kecurian wang barang kes melibatkan AS$6 juta membabitkan sekumpulan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
SPRM kemudiannya dalam satu kenyataan mengesahkan penahanan tiga pegawainya bagi membantu siasatan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes terhadap bekas seorang ketua jabatan.
SPRM berkata ketiga-tiga pegawainya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya dan ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama enam hari bermula 14 September lalu.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

