DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan bahawa semua strategi dan inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) akan dilaksanakan secara tersusun dengan penuh integriti dan bertanggungjawab.
Untuk itu, kata Perdana Menteri, Indeks Tadbir Urus Malaysia akan diperkenalkan bagi mengukur prestasi tadbir urus jentera Kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.
“Bagi tujuan itu, Pelan Pelaksanaan Dasar RMK-12 disediakan sebagai panduan kepada kementerian dan agensi dalam meneraju dan melaksana semua dasar ini.
“Saya meletakkan tanggungjawab kepada semua Menteri dan kementerian untuk bersama-sama saya melaksana dan memantau pencapaian sasaran RMK-12,” katanya.
Ismail Sabri berkata demikian ketika membentangkan rancangan ekonomi lima tahun ini di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Perdana Menteri, beliau beriltizam untuk menjadikan kerajaan yang diterajuinya sebuah kerajaan berprestasi tinggi yang memenuhi harapan rakyat.
“Ini adalah selaras dengan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 13 September 2021 supaya kita terus mendokong pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional dan Pelan Antirasuah Organisasi untuk menjadikan Malaysia negara yang bebas rasuah,” jelasnya.
Baca artikel berkaitan: Merentas tiga PM, RMK-12 dibentang berobjektif ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’
RM400 bilion diperuntukkan biayai projek di bawah RMK-12
Perdana Menteri dalam pembentangan itu turut memberi komitmen bahawa perkhidmatan awam yang menjadi nadi pentadbiran negara akan terus dimantapkan bagi meningkatkan ketelusan dan kecekapan.
Bagi tujuan ini, katanya, perkhidmatan awam akan ditransformasi melalui pendekatan keseluruhan kerajaan dengan mengambil kira bahawa kejayaan pelaksanaan inisiatif memerlukan keterlibatan semua peringkat kerajaan.
Menurut beliau, pelaksanaan penyampaian perkhidmatan yang berkesan amat penting bagi memastikan Keluarga Malaysia benar-benar merasai pembangunan yang dilaksanakan.
“Struktur dan fungsi kementerian dan agensi akan disusun semula bagi mewujudkan organisasi yang lebih mendatar dan mengurangkan kerenah birokrasi.
“Mekanisme pemilihan dan pengambilan pegawai pengurusan dan profesional dalam pelbagai skim juga akan diperkukuh bagi memperoleh bakat yang terbaik.
“Cadangan untuk memperkenalkan akta perkhidmatan awam akan dikaji bagi membolehkan pelaksanaan pengasingan kuasa dan tanggungjawab yang jelas antara Anggota Pentadbiran dengan penjawat awam,” ujarnya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

