TINDAKAN pemilik sebuah pusat hiburan di Kuching, Sarawak beroperasi melebihi masa manakala pengunjungnya pula tidak mematuhi penjarakan fizikal mengundang padah apabila sebanyak 64 individu dikompaun polis dalam satu serbuan awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ashmon Bajah berkata, pusat hiburan yang terletak di Carpenter Street itu diserbu sepasukan anggota dari Balai Polis Sentral Kuching kira-kira pukul 12.15 pagi ini.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 44 orang lelaki dan 20 wanita gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) iaitu premis beroperasi melebihi masa dan pengunjung tidak mematuhi penjarakan fizikal.
“Sebab-sebab pengeluaran kompaun telah dimaklum kepada semoa orang kena kompaun dalam bahasa yang mudah difahami.
“Setiap orang pelanggan telah dikompaun sebanyak RM1,500 manakala pemilik premis sebanyak RM10,000. Jumlah keseluruhan adalah sebanyak RM104,500,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ashmon menambah, polis akan terus melipatgandakan usaha memerangi wabak sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak 1 Jun bagi memerangi Covid-19.

