SERAMAI 12 orang lelaki ditahan pihak polis bagi membantu siasatan kes khianat dan rusuhan di sebuah pusat hiburan di Taman Shamelin, Cheras, Ahad lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, selain itu, pihaknya turut memohon reman terhadap kesemua suspek yang terlibat bagi membantu siasatan.
“Pihak polis telah menangkap seramai 12 orang lelaki dan permohonan reman telah dipohon.
“Beberapa kenderaan yang terlibat dalam kes ini telah dirampas. Pihak polis juga turut merampas sebuah lori yang digunakan oleh suspek bagi kes ini. Kes masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan ringkas, hari ini.
Katanya lagi, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Fadil sebelum ini dalam kenyataan mengesahkan pihaknya menerima satu laporan kira-kira 7.30 malam Ahad lalu berkait insiden kekecohan membabitkan sekumpulan lelaki di pusat hiburan berkenaan.
Katanya, kejadian berlaku sekitar 1.30 tengah hari, hari sama, yang mana sekumpulan individu bertindak merempuh pintu pagar premis menggunakan sebuah lori sebelum menceroboh masuk dan melakukan khianat dengan memecahkan barangan di dalam premis terbabit.
Sebelum itu, tular rakaman video selama kira-kira 60 saat memaparkan sebuah lori mengundur sebelum merempuh pagar premis, diikuti sekumpulan kira-kira 50 lelaki bertopeng yang memegang objek tidak dikenal pasti memasuki bahagian dalam premis melalui pintu pagar dirosakkan.
Beberapa peralatan di dalam premis itu dilaporkan rosak susulan kejadian berkenaan.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

