DISEBABKAN aktif dalam permainan atas talian (live streaming), penyanyi Fieya Julia pernah disangka sudah tidak lagi menyanyi dan menghasilkan lagu-lagu baharu.
Menurut penyanyi yang hits dengan lagu Perasaanku itu, dia mula menemui hobi baharu itu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan akibat Covid-19
“Sepanjang PKP pertama pada 2020, mula-mula Fieya ‘blank’ juga sebab selama ini Fieya mengharapkan duit persembahan saja untuk tanggung diri sepanjang berada di Kuala Lumpur. Sejak PKP ni, Fieya cuba cara lain untuk cari pendapatan.
“Sekarang ini boleh dikatakan Fieya adalah ‘full time streamer’. Setiap hari Fieya akan buat streaming, main game dalam Facebook untuk cari pendapatan. Kiranya itu sebagai pendapatan sepenuh masa. Sekarang ini pendapatan bulanan Fieya datang dari Facebook dengan buat ‘streaming’ dan setiap malam main game.
“Sebenarnya, sewaktu live stream ada banyak kebaikan kerana Fieya dapat kenalan baharu dan ramai pengikut serta peminat baharu dari live stream. Sekarang ini aktiviti Fieya adalah sebagai full time streamer sebab tawaran persembahan nyanyian agak kurang…terpaksalah cari duit dari Facebook untuk tanggung diri.
“Bila orang nampak Fieya selalu buat live stream, ada yang ingat Fieya sudah berhenti jadi penyanyi. Sebenarnya Fieya masih lagi menyanyi dan di waktu yang sama jadi streamer. Ramai yang salah anggap. Jadi streamer adalah pendapatan sampingan walaupun dah jadi kerja sepenuh masa tapi Fieya masih utamakan menyanyi sebagai kerjaya pertama dan streamer kerjaya kedua,” katanya kepada URTV.
Selain bergelar penyanyi dan ‘live streamer’, anak kelahiran Kuching, Sarawak itu turut mempunyai impian untuk mencuba bidang lakonan sebagai satu cabaran buat dirinya.
Tambah Fieya atau Nur Syafiyah Sejali,22, jika ada tawaran berlakon, dia tidak akan menolak kerana mahu mencuba peluang baru. Pun begitu, ia bergantung kepada watak yang ditawarkan.
“Pernah dapat tawaran berlakon tapi watak janda, Fieya tak nak. Ada juga yang tawar berlakon dalam drama, cuma Fieya agak memilih kerana tak nak watak yang pelik-pelik sebab masih muda. Sekarang ini Fieya tak berlakon pun ramai yang ingat Fieya janda. Kalau boleh nak elakkan benda itu.
“Kalau diberi tawaran berlakon teringin nak berlakon dalam cerita budak-budak sekolah menengah. Kalau boleh Fieya nak cuba berlakon dalam YouTube dulu.
“Komen orang ramai perlu, kalau masih banyak benda yang kurang, kena belajar dulu dan kalau ramai cakap boleh berlakon, Fieya sedia untuk lakonkan watak yang sesuai. Fieya tak nak jadi penyanyi saja, kalau boleh nak cuba pelbagai bidang,” ujarnya.
Mengulas mengenai perkembangan karier nyanyian, Fieya kini dalam rangka mempromosikan single terbaharu hasil ciptaannya sendiri berjudul Halusinasi.
“Sebenarnya Fieya tak sangka lagu Halusinasi menjadi pilihan syarikat Aries Music sebab sebelum ini Fieya pernah bagi lagu yang Fieya buat tapi semuanya kena tolak dan tak terpilih. Mungkin ‘material’ tak cukup bagus. Fieya tak sangka lagu Halusinasi ini menjadi pilihan mereka pilih. Rasa excited dan takut juga sebab sebelum ini Fieya nyanyi lagu ciptaan komposer profesional.
“Fieya ni masih baharu dan tak pernah keluarkan single ciptaan sendiri. Agak takut, manalah tahu pendengar tak boleh terima lirik tulisan Fieya sebab masih belajar. Semua ini Fieya buat ikut idea sendiri, ada rasa takut dan teruja. Rasa bersyukur pun ada juga,” kongsinya
Menurut Fieya, Halusinasi yang dibuat pada Ogos 2020, adalah berdasarkan kisah benar tentang perasaannya.
“Masa cipta lagu tu Fieya tengah alami situasi layan perasaan. Inspirasi dapat melodi lagu ini dari mimpi. Agak pelik tapi memang Fieya dapat melodi lagu ini dari mimpi. Fieya bangun dari tidur dan terus rakam melodi yang dapat dari mimpi.
“Sebenarnya, lagu ini Fieya ceritakan tentang diri sendiri juga. Waktu muda ni, kita sering salah anggap cara orang layan kita. Dalam hati mesti tertanya-tanya, dia ni layan lebih, suka kat aku ke atau sebaliknya?
“Halusinasi mengisahkan tentang Fieya berkawan dengan seorang lelaki ini yang selalu ada untuk Fieya tapi dia selalu juga menghilang. Dia akan ada masa Fieya sedih dan hilang masa Fieya dah gembira. Lelaki itu hanya akan berada di sisi Fieya tatkala Fieya memerlukan dia,” ulasnya yang masih mengekalkan genre balada untuk single keempatnya itu.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

