KISAH anak menantu tipu bakal bapa mertua mungkin jarang-jarang berlaku kerana kebanyakan daripada kita akan cuba sedaya upaya menjaga hati bakal bapa mertua selepas tertarik dengan anaknya untuk dibuat isteri atau suami.
Tetapi lain kisahnya di Kota Bharu ini apabila bakal bapa mertua yang bertaraf imam masjid juga sanggup ditipunya dengan alasan memerlukan modal untuk menjalan perniagaan.
Keadaan itu menyebabkan imam berusia 65 tahun itu rugi lebih RM50,000 selepas ditipu seorang lelaki yang juga bakal menantunya sejak Jun hingga pertengahan September lalu.
Apabila, sedar telah ditipu kerana lelaki itu tidak membayar balik pinjaman seperti dijanjikan, imam tersebut tampil membuat laporan di Balai Polis Bachok pada 14 September lalu untuk tindakan lanjut.
Imam berkenaan dikatakan mengenali lelaki berusia 36 tahun itu pada Jun lalu menerusi anak perempuannya yang berusia 28 tahun.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, bakal menantunya itu mendakwa mempunyai perniagaan emas dan kambing perap serta beberapa kali meminta wang untuk dijadikan modal daripada imam terbabit.
“Imam berkenaan kemudiannya memberi lebih RM38,000 daripada awal Jun hingga September secara berperingkat di Bandar Baru Kubang Kerian.
BERITA BERKAITAN Lelaki rugi hampir RM400,000 ditipu kekasih teman sejenis dakwa kerabat diraja
“Imam berkenaan juga memberikan barang kemas bernilai RM6,000 dan sebuah kereta Proton Gen2 bagi memudahkan urusan perniagaan bakal menantunya itu,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro di Kota Bharu, hari ini.
Menurutnya, imam berkenaan dikatakan cuba menghubungi bakal menantunya itu untuk menuntut wangnya, namun pelbagai alasan diberikan lelaki terbabit.
“Susulan laporan mangsa, lelaki berkenaan kemudiannya ditahan pada 11 malam tadi di sebuah rumah di Jalan Pengkalan Chepa bagi membantu siasatan.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dalam proses untuk tahanan reman,” katanya.
Kejadian itu tular di Facebook apabila seorang mangsa yang dikenali sebagai Nurul Afifah membuat hantaran dengan mendakwa bahawa mereka seperti ‘dipukau’.
Dakwanya, mereka kerugian RM55,800 apabila wang simpanan ibu, ayah dan abangnya serta duit yang dipinjam daripada saudara terdekat serta barang kemas diserahkan kepada lelaki berkenaan.

