HABIS barangan kemas emak diserah kepada penipu yangdikenali melalui Internet. - Gambar hiasan

GARA-GARA ‘bercinta’ dan terlalu percaya kepada teman sejenis, seorang lelaki kehilangan barang kemas milik ibunya bernilai RM370,000, selain kerugian wang sendiri sebanyak RM201,000 yang diberikan kepada teman tersebut.

Lelaki berusia 20 itu ditipu oleh ‘temannya’ yang mendakwa merupakan kerabat diraja apabila sanggup menyerahkan barangan kemas ibunya hanya untuk ‘dilihat’ lelaki mendakwa bergelar ‘Tengku’ tersebut dan juga bertindak memindahkan wang tunai.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, Selain itu, mangsa yang berusia 20-an dan bekerja sebagai peniaga dalam talian itu juga diugut akan disebarkan video bogel dirinya selepas berkenalan dengan suspek melalui aplikasi sembang sosial golongan sejenis.

“Sebaik sahaja berkenalan, suspek bertanyakan mengenai emas dan apabila mangsa menyatakan bahawa ibunya memiliki banyak barang kemas, suspek meminta lelaki itu menyerahkan barangan berkenaan untuk diliihatnya sebagai bukti kesetiaan dan kasih sayang mangsa kepadanya.

“Mangsa yang terpedaya dengan janji suspek kononnya akan memulangkan kembali barangan kemas itu membuat dua kalli penghantaran iaitu pada 31 Mei menggunakan perkhidmatan teksi diikuti 2 Jun lalu dengan e-hailing kepada pembantu peribadi ‘Tengku’ yang berada di Kota Bharu,” katanya menerusi satu kenyataan media di Kota Bahru, hari ini.

BERITA BERKAITAN Wanita kena scam kerana percaya iklan kucing British Shorthair berharga murah

Shafien berkata, sepanjang tempoh perkenalan juga, mangsa turut membuat beberapa pindahan wang berjumlah RM201,000 ke dua akaun bank milik individu pihak ketiga atas alasan sama malah dia juga dijanjikan hadiah sebuah kenderaan trak pikap.

Menurutnya lagi, mangsa membuat laporan polis pada Selasa lalu selepas berasa ditipu suspek kerana tidak pernah datang berjumpanya seperti yang dijanjikan dan tidak memulangkan kembali barangan emas milik ibunya itu.

“Suspek juga terus memaksa mangsa menyerahkan wang kepadanya termasuk mengugut untuk menyebarkan video bogel mangsa.

“Kes kini dalam siasatan polis kerana kesalahan menipu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) yang jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara maksimum sepuluh tahun serta dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda,” katanya.

Shafien mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada semasa berurusan dalam talian, tidak terpedaya dengan janji manis individu yang baharu dikenali dan berhati-hati dengan sindiket Love Scam agar tidak menjadi mangsa yang seterusnya.

Beliau juga menyarankan supaya memuat turun secara percuma aplikasi telefon pintar ‘Check Scammers CCID’ untuk membuat semakan nombor akaun bank dan nombor telefon yang digunakan sama ada pernah terbabit dalam kes jenayah komersil. – UtusanTV