SEORANG peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas pertuduhan menipu isteri kepada pelakon dan pelawak, Along Cham membabitkan jumlah lebih RM100,000 berkaitan penahanan kes dadah selebriti itu.
Pengakuan itu dibuat oleh tertuduh yang dikenali sebagai ‘Ika’ atau nama sebenarnya Nursyafiqah Hermansah, 28, selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi.
Mengikut kertas pertuduhan, wanita terbabit didakwa menipu Afreena Suhaimi, 33, dengan memperdayakan mangsa itu untuk menjamin keluar dan menurunkan seksyen pertuduhan ke atas Along, atau nama sebenarnya Muhamad Nizamudin Ahmad.
Kesalahan itu bagi mendorong mangsa untuk membayar wang berjumlah RM105,380 kepada tertuduh melalui 26 transaksi kepada lima akaun berbeza, yang mana mangsa tidak akan berbuat begitu sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.
Ika didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah stesen minyak di Bangi Gateway, Seksyen 15, Bandar Baru Bangi sekitar jam 6.06 petang pada 22 Disember tahun lepas hingga 1.24 petang pada 14 Januari lalu.
Justeru ibu tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun sehingga 10 tahun, dan dengan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Anis Farhah Ahmad Hilmi menawarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin.
Namun peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Tan Kim Kiek yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan itu dikurangkan memandangkan anak guamnya itu sekadar bekerja sebagai peniaga dengan pendapatan RM1,000 selain mempunyai tiga anak masing-masing berusia tiga, lima dan lapan tahun.
Majistret Nurdiayanah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 21 Mac ini bagi sebutan semula ke dan lantikan peguam tertuduh.
Sebelum ini, UtusanTV melaporkan wanita yang ditahan berhubung laporan kes penipuan yang dibuat oleh isteri kepada pelakon filem bersiri ‘Adnan Sempit’ itu, mempunyai lima rekod kes penipuan di empat negeri.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek mempunyai rekod di Sabah, Negeri Sembilan, Kedah dan Selangor.
Terdahulu Afreena dilaporkan tampil membuat laporan polis terhadap seorang individu dikenali ‘Ika’ yang disyaki menipu wang sejumlah RM95,180.
Mangsa itu dilaporkan berkata, wang terbabit diserahkan dengan niat untuk membantu membebaskan suaminya daripada tahanan.

