Sebuah penghasilan album seorang penghibura yang mengandungi pelbagai cerita dan berkembang mengikut waktu serta keadaan yang dilalui.

Rasa adalah sebuah perjalanan muzik Datuk Ramli Sarip yang disampaikan dengan penyatuan rasa di antara paduan elemen muzik folk dan blues, rock dan pop bernuansakan alam Nusantara Melayu yang menjentik jiwa bersama bait-bait lirik penuh dengan metafora dan makna.

Dari perasaan dan pemikiran peribadi terhadap hal-hal yang mencangkupi kehidupan yang dilaluinya hari-hari, pengamatan terhadap keadaan yang berlaku di sekeliling mahu pun yang menyentuh masyarakat serta umat sejagat sehinggalah hubungan spiritual dengan Tuhan, Rasa ibarat sebuah cermin suaranya terhadap kehidupan ini dalam fasa lebih matang.

Menyentuh tentang Rasa, penghibur lagenda yang cukup ikonik dengan gelaran Papa Rock itu mengakui bahawa album baharunya itu memiliki segala resepi dan ramuan terbaik yang pernah dihasilkannya sebelum ini.

“Apabila dapat menerbitkan album penuh dengan 10 buah lagu, ia memberikan satu kepuasan berbeza. Mencipta hala tuju dan mereka cipta konsep sangat menarik. Ia seperti mengimbau era penerbitan album bersama Sweet Charity…setiap album ada warna, karakter dan semangatnya yang tersendiri.

“Sebetulnya, saya bukanlah orang yang gemar menghasilkan single dan kebetulan saya memiliki lagu baharu yang cukup untuk merakamkan 10 lagu. Maka, terhasillah Rasa,” katanya.

Pembikinan album Rasa yang memuatkan 10 buah lagu itu menjadi lebih unik apabila penerbitannya dimulakan di Kuala Lumpur tetapi disiapkan sepenuhnya di Singapura apabila pandemik Covid-19 mula menyerang dunia pada tahun lepas.

Bersama band muzik pengiringnya Soul Journey iaitu Rozario Rasul selaku pengarah muzik dan keyboardist, Rizal Halim atau Ritz Metalasia (pemain gitar kedua), Din Safari (pemain bass), Tom Annuar (pemain dram) beserta Allahyarham Fauzi Samin atau Aji (pemain gitar pertama), Ramli sempat merakamkan tiga lagu iaitu Srikandi Zaman, Sentosa di Kubah Hayat dan Surat Cinta Kuala
Lumpur.

Manakala di Singapura, dia menghabiskan tujuh lagu lagi bersama pemuzik terbaik di negara itu seperti Addy Rasidi, Din Safari, Bani Hidir, Riduan Zalani, Al Hafiz Jumat dan Julian Lim.

“Antara 2018 hingga 2019, lagu pertama yang saya rakam di Kuala Lumpur adalah lagu Srikandi Zaman yang mengisahkan empat orang wanita agung, di antaranya ialah Saidatina Khadijah Binti Khuwallid R.A. Lirik nukilan Hartinah Ahmad.

“Lagu kedua adalah lagu Sentosa Di Kubah Hayat yang mana liriknya ditulis oleh Arifin Arif dan lagu ketiga Surat Cinta Kuala Lumpur yang dijadikan lagu tema pelancaran untuk acara Kota Buku Dunia Kuala Lumpur 2020 (KLWBC2020) anjuran Unesco yang diisytiharkan pada 23 April 2020. Ketiga-tiga lagu ini saya rakamkan di Kuala Lumpur,” ujarnya.

Tatkala merancang untuk meneruskan pembikinan album ini, situasi semasa negara yang diserang Covid-19 telah merencatkan usaha ‘the living legend’ ini untuk menyiapkan Rasa.

Ketika itu, Ramli dalam perjalanan dari Bandung menuju ke Kuala Lumpur tetapi dia terpaksa pulang ke Singapura apabila situasi penularan Covid-19 menjadi lebih teruk.

“Setibanya saya di Singapura, saya terpaksa menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari dan saya akui ia adalah tempoh yang benar-benar menyukarkan kerana saya tidak dapat bergerak ke mana-mana dan hanya terperap di rumah.

“Tetapi, dari satu sisi, ia memberi kesempatan untuk saya mendapatkan lebih banyak ilham untuk menyiapkan album ini dan merakamkan tujuh buah lagi lagu dengan menggunakan khidmat pemuzik-pemuzik berkaliber di Singapura dan Malaysia,” katanya.

Pembikinan yang mengambil masa dan dihasilkan dengan penuh ketelitian serta kesabaran di Singapura, memuatkan lagu Kekasihku, Ayah dan Ibu, Ronggeng Rakyat, Cinta Di Sebalik Musim, Nyanyian Sejagat, Irama Kasih dan Orang Tua Bersidi Sakti.

Ramli memilih untuk merakamkan semula Ayah dan Ibu kerana ia adalah sebuah lagu mencabar hasil ciptaan dan nyanyian A Rahman sekitar 1940-an.

“Pada1981, Allahyarham Sudirman Haji Arshad membuat rakaman semula lagu ini bersama syarikat EMI. Lagu ini dipilih sebagai mengenang Ayah dan Ibu yang telah lama meninggalkan kami…anda kena nilai sendiri versi nyanyian saya pula.

“Cinta Di Sebalik Musim adalah karya seorang komposer bernama T-Zi dan liriknya dihasilkan oleh S. Amin Shahab. Awalnya, lagu ini tidak begitu menarik minat saya tetapi nuansa Timur pada melodi lagu ini sangat menarik dan liriknya juga sangat puitis serta halus.

“Tajuk awal lagu ini adalah Meranti Condong Timur, tetapi kemudian ia diganti kepada Cinta Di Sebalik Musim,” kongsinya lebih lanjut.

Sementara itu, Ramli mengakui menyiapkan album dalam waktu pandemik memberikan cabaran baharu kerana melahirkan karya pada saat industri muzik dan hiburan tertekan dengan ketiadaan ‘live show’ membuatkan dirinya gundah.

Pada waktu yang sama, dia perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan mereka mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Momen paling menarik apabila dia dapat berkumpul bersama teman-teman pemuzik untuk menghasilkan lagu, berkongsi idea, pengalaman dan rasa yang sama. Ia mencetuskan magis yang luar biasa.

“Bila berkarya kita lupa tentang hal-hal yang lain. Kita kembali bersemangat untuk buat yang terbaik dan ilham-ilham itu terus keluar mengalir sekaligus kita membiarkan diri kita berada pada puncak waktu itu.

“Malah, semasa di studio rakaman, ada suatu pengalaman unik yang saat melontarkan suara. Perasaan ketika menyanyi sangat tenang, merindui damai yang kita kecapi sebelum pandemik berlaku. Ianya sangat seronok dan seolah-olah ada dorongan semangat baru yang kuat untuk terus berkarya.

“Kerana itulah Rasa kali ini mempunyai rasa dan jiwa yang berbeza. Harapan saya, album ini akan dapat membakar semangat nusantara dan sejagat untuk terus berkarya dalam apa juga suasana yang menghalang.

“Citarasa baru ini memberi sinar dan warna baharu dalam dunia seni. Cintailah alam dan berkasih sayanglah sesama ummah. Khusus untuk pencinta dan pejuang seni agar kita terus melahirkan karya baru,” katanya.

Untuk rekod, inilah album pertama yang dihasilkan sepenuhnya di Singapura selepas album Bukan Kerana Nama di bawah naungan Warner Music Singapore pada 1986.

Dalam pada itu, album Perjalanan Hidup yang mana kontraknya diambil alih oleh Warner Music Malaysia sehinggalah1994. Kemudian, pada 1997, dia menerbitkan album Ramli Sarip ALIVE dan Syair Timur bersama Legend Music yang kemudian diambil alih oleh syarikat sendiri iaitu Rasa Karya Sdn Bhd hinggalah ke hari ini.