PENYANYI Siti Nordiana akan memberi keterangan dari kandang saksi pada perbicaraan kes saman fitnah di laman media sosial Instagram yang difailkan ke atas lima individu pada bulan Ogos lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen memerintahkan agar perbicaraan penuh dijalankan pada 15 Oktober dan 20 Oktober ini.
Peguambela Nurul Hafidzah Hassan dari firma guaman NHA Advocates & Solicitors yang mewakili defendan keempat dan kelima iaitu Sam Musyadzafar Bin Samin (Sam Samin) dan Razidah Binti Ahmad Senusi (Aida G.) menyatakan kedua-dua defendan yang diwakili akan mengemukakan tujuh orang saksi termasuk kedua-dua anak guamnya.
“Antara saksi yang akan dipanggil semasa perbicaraan ialah Zoey Rahman, pelakon yang pernah dikaitkan dengan Siti Nordiana,” kata Nurul Hafidzah.
Terdahulu, Nurul Hafidzah menyatakan yang pihak plaintif tidak mempunyai asas kes bagi saman fitnah tersebut kerana tiada sebarang pernyataan fitnah yang telah dikeluarkan oleh anak guam.
Peguam tersebut juga berpendapat bahawa kes saman fitnah yang diambil oleh Siti Nordiana tidak memenuhi ke semua elemen bagi individu yang ingin mendakwa pihak yang telah memfitnah.
“Setakat ini, dokumen, fakta-fakta yang telah dipersetujui, dan fakta untuk dibicara telah pun difailkan. Kami belum menerima senarai saksi daripada Siti Nordiana dan mungkin akan dibekalkan pada hujung minggu ini,” tambah Nurul Hafidzah.
Siti Nordiana adalah saksi plaintif yang pertama dan akan masuk ke kandang saksi pada hari pertama dan kedua perbicaraan. Penyanyi tersebut akan melalui pemeriksaan balas oleh peguam defendan bermula dari hari perbicaraan pertama.
Sementara itu, Ketua pasukan pembelaan bagi defendan keempat dan kelima tersebut berkata, Siti Nordiana akan berada dalam kandang saksi sepanjang masa dia diperiksa balas dan diperiksa semula dalam memberikan keterangan kerana beberapa bukti penting akan turut dikemukakan sebagai keterangan yang bakal dikemukakan kepada mahkamah.
Sebelum ini, media melaporkan bicara saman fitnah tersebut akan bermula pada 29 September tetapi ianya telah ditangguhkan ke bulan in kerana tarikh tersebut bertindih dengan pendengaran kes sivil Abu Syafiq di Kuantan.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

